Ahad, Februari 06, 2011

Penghidap barah payudara meningkat

LONDON: Seorang daripada setiap lapan wanita akan mendapat kanser payudara sepanjang hayat mereka dan kadar itu semakin meningkat, angka yang membimbangkan. 


Saintis menyalahkan masalah kegemukan, pengambilan alkohol dan keinginan semakin bertambah untuk hamil sebagai punca rekod baru dicapai.

Seramai 47,700 wanita dikenal pasti menghidapnya setiap tahun bersamaan 130 orang sehari. Jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding 30 tahun lalu.

Pakar menganggap angka itu sebagai mengejutkan sambil menekankan beribu-ribu mungkin dapat mengelak penyakit itu jika mengurangkan minum arak, menjaga berat badan dan melakukan lebih banyak senaman. 


Peningkatan itu turut dipersalahkan pada peningkatan wanita yang melewatkan kehamilan dan sukar mendapat anak. Angka itu menunjukkan, ada 124 kes barah payudara bagi setiap 100,000 wanita, dua kali ganda berbanding kanser lain. 


Saintis percaya sesetengah bentuk kanser payudara dicetuskan oleh hormon seks estrogen, yang dikaitkan dengan obesiti, pengambilan alkohol, kurang memiliki anak dan tidak menyusukan anak. 


Mereka turut menyalahkan terapi penggantian hormon (HRT) diambil jutaan wanita setiap tahun bagi menghalang menopaus. 


Agensi Cancer Research UK menyatakan, 47,700 wanita disahkan menghidap kanser itu pada 2008, berbanding 42,400 pada 1999 dan hanya 24,120 pada 1978. 


Wanita lebih berisiko sebaik saja mereka sampai ke peringkat menopaus dan 22,900 kes baru berlaku di kalangan wanita berusia 50 hingga 69 tahun. – Agensi 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan