Jumaat, November 01, 2013

CONTOH TERBAIK - TAHNIAH SPRM

Bekas KP Imigresen  kena 6 tahun
Abdul Wahid dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM60,000.

Bekas KP Imigresen kena 6 tahun

Abdul Wahid didapati bersalah terima suapan RM60,000 

Kuala Lumpur: Dibebas dan dipenjarakan oleh hakim yang sama.  Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dipenjara enam tahun dengan denda RM300,000 atau tambahan setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 lima tahun lalu. 

Hakim Rosbiahanin Ariffin, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh menerusi peguam belanya, Datuk V Sithambaran, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 

Wahid, 60, yang hadir dengan ditemani isterinya, kelihatan tenang sebaik Rosbiahanin membacakan keputusan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai semalam. 

Terdahulu, hakim menolak permohonan Sithambaran, supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan. 

Khamis, Oktober 31, 2013

Pancaran Frekuensi Radio

1. Apakah Itu Pancaran RF?
Pancaran RF atau emissi adalah satu bentuk tenaga yang bergerak dan bersifat elektromagnetik. Terdapat 2 jenis pancaran:

Pancaran RF Berion (Ionizing RFE) memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan serta memberikan kesan kepanasan melampau. Contoh Radiasi Berion adalah sinaran Gamma, sinaran X (X-ray) dan emissi radioaktif.
 
Pancaran RF Tak Berion (Non-Ionizing RFE) tidak memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan jirim hidup, serta tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia. Contoh Pancaran Tak Berion adalah Pancaran Frekuensi Radio (Emissi RF).

"Pancaran RF tidak bersifat radioaktif"
2. Berapakah Paras Pancaran RF Yang Dihasilkan Oleh Pemancar Telekomunikasi Di Malaysia?

Berdasarkan ujian yang dilakukan, purata bacaan pancaran RF dari pemancar telekomunikasi di Semenanjung Malaysia hanyalah 0.000093 W/m berbanding had dedahan yang ditetapkan oleh ICNIRP dan SKMM. Paras pancaran RF yang
dihasilkan ini adalah rendah dan tidak memberi kesan kepada kesihatan.
3. Adakah Pancaran RF Sesuatu Yang Baharu?

Tidak, pancaran RF telah digunakan dengan meluas lebih 60 tahun dahulu sejak siaran TV dan radio mula disiarkan.
4. Benarkah Dakwaan Bahawa Pancaran RF Membahayakan Kesihatan?

Bukti saintifik yang konklusif tidak menunjukkan bahawa pancaran RF dari pemancar telekomunikasi berupaya memberikan kesan kepada kesihatan seperti pening kepala, hilang ingatan, sakit kulit mahupun kanser.

PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA (WHO-2006)
“Sejak 15 tahun lalu, pelbagai kajian mengenai perkaitan di antara pemancar RF dengan kanser telah diterbitkan. Kajian-kajian ini tidak menunjukkan bahawa dedahan pancaran RF daripada pemancar telekomunikasi dapat meningkatkan risiko kanser.”

Persepsi risiko oleh masyarakat awam :
“Sesetengah individu mempunyai persepsi risiko yang negatif terhadap dedahan pancaran RF. Beberapa punca kepada persepsi masyarakat termasuk liputan media terhadap kajian saintifik tidak sahih yang membangkitkan rasa ketidaktentuan, serta persepsi bahawa mungkin wujudnya bahaya yang tidak diketahui.”
5. Berapakah Had Dedahan Pancaran RF Yang Telah Ditetapkan ?

Had dedahan pancaran RF yang ditetapkan Suruhanjaya Antarabangsa Terhadap Perlindungan Radiasi Bukan-Pengionan (ICNIRP) dan SKMM adalah 4.5W/m untuk frekuensi 900MHz, 9W/m untuk frekuensi 1800MHz dan 10W/m untuk frekuensi 2000MHz dan ke atas. Had dedahan ini meliputi frekuensi bagi teknologi 2G, 3G dan 4G. Had dedahan yang ditetapkan ini turut
menerapkan nilai penampan yang besar bagi melindungi segenap lapisan masyarakat termasuk warga tua dan kanak-kanak.
6. Siapakah Pihak Yang Memantau Pancaran RF Daripada Pemancar Telekomunikasi?

SKMM adalah badan kerajaan yang memantau paras pancaran RF dari pemancar telekomunikasi. Sebarang ketidakpatuhan terhadap standard mandatori paras pancaran RF yang ditetapkan oleh SKMM boleh dihukum denda tidak melebihi RM200,000.00.
7. Adakah Terdapat Kajian Badan Antarabangsa Mengenai Pancaran RF Kepada Kesihatan?

Sejak dahulu lagi, banyak kajian telah dilakukan di seluruh dunia. Berikut adalah beberapa rumusan hasil kajian oleh badan-badan antarabangsa : -

“Kajian 10 tahun yang dilakukan di 13 buah Negara maju (Australia, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Israel, Itali, Jepun, New Zealand, Norway, Sweden dan UK) menunjukkan tiada hubungan antara peningkatan risiko kanser dengan pancaran RF.” – petikan daripada INTERPHONE Study, 17 Mei 2010

“Tiada bukti pendedahan pancaran RF boleh meningkatkan risiko kanser. Begitu juga kajian yang dilakukan terhadap haiwan tidak menunjukkan peningkatan risiko berlakunya kanser akibat pancaran RF walaupun pada tahap yang sangat tinggi melebihi tahap pancaran yang dikeluarkan oleh pemancar telekomunikasi.” – petikan daripada WHO, Mei 2010

“Kajian sehingga kini mendapati pancaran RF di bawah had dedahan yang ditetapkan oleh ICNIRP tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan awam. Adalah disimpulkan bahawa tiada bukti menunjukkan adanya risiko kesihatan kepada orang awam yang tinggal berhampiran dengan struktur pemancar telekomunikasi.” – petikan daripada The United Kingdom Independent Expert Group (Stewart Report) tahun 2000.

“Sehingga kini, tiada peningkatan risiko kesihatan disebabkan oleh pendedahan kepada pancaran RF. Medan RF yang dipancarkan oleh stesen pemancar adalah begitu lemah untuk memberikan kesan kepada kesihatan.” – petikan daripada The Royal Society of Canada, March 1999” 

Walaubagaimanapun, terdapat juga hasil kajian tidak sahih yang mengaitkan pendedahan pancaran RF dengan pelbagai kesan kesihatan. Hasil kajian sebegini sering disensasikan seterusnya membawa kepada kegusaran dan kekeliruan.
8. Adakah terdapat Kajian Yang Dilakukan Di Malaysia?

Pada 1996, kajian Jawatankuasa Saintifik Ad-Hoc Antara Agensi yang dianggotai antaranya Kementerian Kesihatan, UKM, UM, MINT, SIRIM, JTM dan UTM menyimpulkan bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan pendedahan kepada pancaran RF boleh mengakibatkan timbulnya kesan kepada kesihatan manusia. Kajian menyeluruh telah dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang membuktikan paras pancaran RF di kawasan sekitar pemancar telekomunikasi di Malaysia adalah rendah berbanding had dedahan yang ditetapkan.

Kajian UNITEN baru-baru ini menunjukkan Malaysia mematuhi piawaian dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ICNIRP berkaitan dengan tahap keselamatan radiasi RF.
9. Adakah Perlu Ada Jarak Tertentu Di Antara Menara Pemancar Dengan Rumah?

Jarak keselamatan fizikal telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2002. Jarak ini adalah bagi melindungi masyarakat awam daripada pemasangan tidak sempurna serta kejatuhan objek daripada menara dan struktur pemancar telekomunikasi. Dari segi pancaran RF, paras radiasi daripada struktur sebegini adalah rendah dan tidak memerlukan keperluan jarak tambahan.
10. Bagaimanakah Orang Ramai Boleh Membuat Pertanyaan Dan Aduan Berhubung Pancaran RF?

Pertanyaan dan aduan boleh di buat kepada BIRO ADUAN PENGGUNA SKMM – sila rujuk bahagian HUBUNGI KAMI untuk
butiran lanjut.
 
Maklumat berkaitan pancaran RF boleh juga diperolehi daripada laman webhttp://rfemissions.skmm.gov.my