KADAR jenayah melibatkan mat rempit dan kes ragut semakin berleluasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Rasanya tidak keterlaluan untuk mengatakan, kebanyakan penduduk tidak lagi merasa selamat di tanah air sendiri.
Ketua Polis Negara baru-baru ini menyatakan, sukar untuk anggotanya berada di semua tempat pada satu-satu masa dan meminta kerjasama masyarakat.
Dalam konteks ini, pertubuhan yang mempunyai kekuatan daripada segi bilangan ahli dan populariti merupakan landasan paling tepat sebagai penggerak untuk menjana sokongan masyarakat.
Paling penting juga untuk parti-parti politik, baik daripada pihak pemerintah atau pembangkang, tampil ke hadapan menyahut seruan pihak polis tersebut.
Sudah tiba masanya untuk parti-parti politik mula mengambil langkah proaktif dan mengadakan program-program yang lebih berunsur kemasyarakatan.
Parti pemerintah dan pembangkang harus berganding bahu kerana masalah ini merupakan masalah nasional yang tidak mengenal mangsa, sama ada penyokong Barisan Nasional, Parti Keadilan Rakyat, DAP ataupun Pas.
Parti-parti ini mempunyai kekuatan daripada segi sumber manusia dan material. Jika digembleng segala aset, sudah tentu program yang diadakan akan sampai ke segenap lapisan masyarakat. Sekali gus ia dapat mencapai sasaran yang lebih besar.
Apa salahnya jika mengadakan program bersama. Sepakat mengisytiharkan perang terhadap jenayah.
Adakah haram di sisi Islam atau agama lain untuk bersama menziarahi keluarga mangsa dan menubuhkan tabung bantuan? Adakah melanggar etika parti jika menubuhkan satu pasukan peronda khas yang dianggotai ahli-ahli semua parti - pembangkang atau kerajaan - untuk bersama-sama dengan pihak polis demi menjaga keamanan masyarakat?
Berapa ramai lagi yang perlu menjadi korban sehingga cadangan tersebut mendapat perhatian?
Perebutan kuasa serta pilihan raya kecil telah terlalu banyak 'meragut' perhatian pemimpin-pemimpin kita . Terlalu banyak masa dibazirkan semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan menanam kebencian terhadap pihak lain.Akhirnya masalah jenayah turut dipolitikkan.
Kini sudah tiba masanya untuk berhenti daripada menuding jari dan mempertikaikan punca gejala tersebut.
Rakyat Malaysia tidak mahu mendengar siapa yang perlu dipersalahkan. Kita ingin melihat perkara ini diselesaikan segera.
Oleh DR. FAIZAL TAJUDIN