Khamis, Oktober 17, 2013

KENAPA KERAJAAN RUGI RM2 BILION AKIBAT PENYELUDUPAN ROKOK ???

PASTI ADA JAWAPANNYA YANG POSITIF. SEBAGAI CONTOH ADAKAH AGENSI-AGENSI YANG TERLIBAT MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN JUJUR, AMANAH DAN CEMERLANG ????

Kerajaan kerugian kira-kira RM2 bilion sejak Januari hingga September tahun ini, selepas gagal mengutip cukai berkaitan bahan tembakau berikutan aktiviti penyeludupan rokok melalui sempadan negara.
Ketua Pengarah Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Datuk Abdul Rahim Ismail berkata jumlah itu hasil kajian yang dilakukan sebuah syarikat pengeluar rokok British American Tobacco (BAT) pada tahun ini.
"Permintaan terhadap rokok seludup semakin meningkat berikutan kenaikan harga rokok sebanyak 14 peratus baru-baru ini memandangkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu membeli rokok yang telah dicukaikan.
"Rokok seludup mendapat permintaan tinggi oleh golongan berkenaan kerana harga yang murah dan boleh didapati serendah RM2.50 sekotak yang mengandungi 20 batang rokok," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Aidiladha di Pondok Haji Ismail Baginda, Kampung Jenerih, Jalan Meranti di sini Khamis.

Rabu, Oktober 16, 2013

The Herald Akan Fail Rayuan Kepada Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Penerbit akhbar Katolik, The Herald tidak akan berputus asa dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah "Allah" dalam edisi bahasa Malaysia untuk penduduk di Sabah dan Sarawak, walaupun Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan sebaliknya, demikian kata pengarangnya, Paderi Lawrence Andrew.
Bercakap kepada pemberita selepas keputusan tersebut diumumkan, The Herald katanya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pula selepas ini.
Andrew berkata, hak penganut agama Kristian di Malaysia wajar dilindungi di bawah undang-undang negara.
"Apa yang ingin saya katakan ialah, hak kami sebagai penganut agama minoriti di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan kami secara bebas mestilah dipelihara ," ujarnya lagi.

Selasa, Oktober 15, 2013

MUTAKHIR Malaysia terus pacu kedaulatan Islam


KUALA LUMPUR: Malaysia, sebagai negara yang memaktubkan Islam sebagai agama negara, tetap istiqamah dalam mendaulatkan kedudukan Islam di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak. 


Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memacu negara menuju wawasan yang sudah ditetapkan berpaksikan objektif syariah atau maqasid syariah. 

"Kita berazam seiring dengan program-program transformasi yang telah kerajaan susun untuk terus memantapkan perkembangan syiar dan syariat Islam di negara ini," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1434 Hijrah esok dalam blognya www.1Malaysia.com.my. 


Dalam pada itu, Najib berkata Malaysia sentiasa komited menjadi penyelesai konflik umat Islam di negara-negara lain yang menuntut peranan Malaysia sebagai pendamai. 

Isnin, Oktober 14, 2013

MyLesen sasar bantu golongan muda bandar

Setelah berjaya membantu warga emas di luar bandar menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melancarkan satu lagi program khas, MyLesen bagi membantu rakyat di negara ini khususnya golongan muda di bandar memiliki lesen sah mulai tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, program yang disasarkan kepada remaja berusia 16 tahun ke atas itu akan dimulakan projek perintisnya di dua buah negeri iaitu Selangor dan Sabah pada November ini.

Tambah beliau, mengikut rekod pihaknya terdapat sebanyak 6.7 juta individu berumur 16 tahun ke atas ketika ini tidak memiliki lesen.

"Kita akan melancarkan program ini untuk memastikan masyarakat khususnya orang muda dan mat rempit di kawasan bandar mempunyai lesen. Kita tidak mahu lagi mereka menunggang sewenang-wenangnya tanpa lesen kerana boleh mendatangkan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian penutupan SKSJ peringkat daerah Kuala Kangsar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 322 individu termasuk warga emas dan 123 Orang Asli menerima lesen memandu percubaan (P) kelas B2 setelah lulus menduduki kursus, latihan dan ujian memandu di bawah program SKSJ.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, program SKSJ yang bermula sejak 2009 kini telah memanfaatkan kira-kira 40,000 orang di seluruh negara dengan masing-masing melibatkan warga emas dan Orang Asli berusia 45 dan 21 tahun ke atas.

Beliau berkata, program yang menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan merakyatkan lagi perkhidmatan awam.

"Program SKSJ ini telah membantu masyarakat di luar bandar memiliki lesen walaupun mereka sudah menunggang motosikal, mungkin lebih 10 tahun, tetapi sukar untuk lulus bahagian satu melibatkan ujian berkomputer," katanya.