Isnin, Oktober 14, 2013

MyLesen sasar bantu golongan muda bandar

Setelah berjaya membantu warga emas di luar bandar menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melancarkan satu lagi program khas, MyLesen bagi membantu rakyat di negara ini khususnya golongan muda di bandar memiliki lesen sah mulai tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, program yang disasarkan kepada remaja berusia 16 tahun ke atas itu akan dimulakan projek perintisnya di dua buah negeri iaitu Selangor dan Sabah pada November ini.

Tambah beliau, mengikut rekod pihaknya terdapat sebanyak 6.7 juta individu berumur 16 tahun ke atas ketika ini tidak memiliki lesen.

"Kita akan melancarkan program ini untuk memastikan masyarakat khususnya orang muda dan mat rempit di kawasan bandar mempunyai lesen. Kita tidak mahu lagi mereka menunggang sewenang-wenangnya tanpa lesen kerana boleh mendatangkan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian penutupan SKSJ peringkat daerah Kuala Kangsar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 322 individu termasuk warga emas dan 123 Orang Asli menerima lesen memandu percubaan (P) kelas B2 setelah lulus menduduki kursus, latihan dan ujian memandu di bawah program SKSJ.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, program SKSJ yang bermula sejak 2009 kini telah memanfaatkan kira-kira 40,000 orang di seluruh negara dengan masing-masing melibatkan warga emas dan Orang Asli berusia 45 dan 21 tahun ke atas.

Beliau berkata, program yang menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan merakyatkan lagi perkhidmatan awam.

"Program SKSJ ini telah membantu masyarakat di luar bandar memiliki lesen walaupun mereka sudah menunggang motosikal, mungkin lebih 10 tahun, tetapi sukar untuk lulus bahagian satu melibatkan ujian berkomputer," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan