
SIAPA sangka perlawanan bolasepak Liverpool menentang Wolveshampton pada 22 Januari lalu, kini jaug melangkaui persoalan mengenai keupayaan pengurus baru The Reds, Kenny Dalglish atau mengatasi jaringan cantik Raul Moreiles yang dinanti selama enam bulan oleh penyokong fanatik kelab itu.
Perlawanan itu sebaliknya, dibayangi oleh isu luar biasa membabitkan pembantu pengadil wanita, Sian Massey. Wanita berusia 25 tahun ini tidak membuat sebarang tindakan yang pelik, malah satu keputusan pentingnya pada awal perlawanan telah membolehkan Fernando Torres menjaringkan gol pertama. Bila diteliti menerusi ulangan televisyen, ternyata Massey membuat keputusan tepat tidak mengangkat bendera tanda off-side.
Yang pelik dan off-side terpantul pula kepada mereka yang bukan berada di atas padang. Mereka berada dalam bilik khas dalam stadium dan bertugas memberi komentar yang didengar oleh jutaan penonton siaran perlawanan yang bermula 8.40 malam itu (waktu Malaysia). Richard Keys dan Andy Gray dilaporkan telah memberi komen yang mempersoalkan keupayaan Massey untuk memahami peraturan off-side. Akibatnya, kedua-dua pengacara veteran Sky Sports tersebut kini kehilangan jawatan masing-masing.