Ahad, Januari 30, 2011

Lelaki moden tidak perlekeh wanita

SIAPA sangka perlawanan bolasepak Liverpool menentang Wolveshampton pada 22 Januari lalu, kini jaug melangkaui persoalan mengenai keupayaan pengurus baru The Reds, Kenny Dalglish atau mengatasi jaringan cantik Raul Moreiles yang dinanti selama enam bulan oleh penyokong fanatik kelab itu.

Perlawanan itu sebaliknya, dibayangi oleh isu luar biasa membabitkan pembantu pengadil wanita, Sian Massey. Wanita berusia 25 tahun ini tidak membuat sebarang tindakan yang pelik, malah satu keputusan pentingnya pada awal perlawanan telah membolehkan Fernando Torres menjaringkan gol pertama. Bila diteliti menerusi ulangan televisyen, ternyata Massey membuat keputusan tepat tidak mengangkat bendera tanda off-side.

Yang pelik dan off-side terpantul pula kepada mereka yang bukan berada di atas padang. Mereka berada dalam bilik khas dalam stadium dan bertugas memberi komentar yang didengar oleh jutaan penonton siaran perlawanan yang bermula 8.40 malam itu (waktu Malaysia). Richard Keys dan Andy Gray dilaporkan telah memberi komen yang mempersoalkan keupayaan Massey untuk memahami peraturan off-side. Akibatnya, kedua-dua pengacara veteran Sky Sports tersebut kini kehilangan jawatan masing-masing.
Komen negatif Gray tersebut dilaporkan terdengar ketika dia berbual dengan Keys sebelum perlawanan, tatkala kedua-duanya menyangka mikrofon masih ditutup. Penonton di Malaysia tidak menyedari kejadian itu kerana iklan di televisyen satelit berbayar begitu bersemarak beberapa saat sebelum sepak mula dibuat.

‘Bantahan’ Gray terhadap pelantikan Massey sebagai penjaga garisan bukan kerana wanita itu berambut panjang, atau kelihatan pelik memakai seluar pendek (pada zaman seluar tong ini!) dan tentunya bukan kerana wajahnya yang hodoh, malah Massey (lihat gambar) sebenarnya ‘boleh tahan’. Faktanya, Gray mencemuh Massey sebagai berisiko menjejaskan perlawanan dengan pengetahuan yang lemah dalam soal off-side.

Untuk seorang penyampai veteran seperti Gray bercakap sedemikian, adalah amat aneh. Apakah Gray lupa bahawa Massey bukan wanita pertama dilantik menjadi pembantu pengadil dalam liga perdana Inggeris? Lupakah dia bahawa Massey harus melepasi ujian kelayakan pengadil yang sama sukar (atau lebih) seperti yang dikenakan kepada pengadil lelaki, untuk melayakkan dirinya dipilih bagi perlawanan besar antara Liverpool dan Wolves tersebut. Lucunya Gray sibuk bimbangkan keupayaan Massey, walhal pengadil lelaki yang terbukti lebih banyak membuat keputusan aneh seperti Howard Webb, yang disyaki peminat Sir Alex Ferguson.

Jadi apakah sebenarnya masalah Gray dan Keys? Jawapannya hanya satu. Mereka berdua masih menganggap bola sepak adalah permainan yang khusus untuk kaum lelaki sahaja. Sikap misogyny (tidak menyukai wanita) tersebut ternyata bertentangan dengan keputusan FIFA untuk menggalakkan dan juga melaksanakan dasar kesamarataan bagi kaum wanita supaya lebih aktif dalam bolasepak. Di Amerika Syarikat, bolasepak yang diistilahkan soccer disukai oleh ibu bapa yang menganggap sukan ini lebih ‘selamat’ berbanding American Football.

Oleh Johardy Ibrahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan