Isnin, Januari 31, 2011

Banjir: Perkhidmatan KTMB ke timur, selatan hari ini dibatal

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini membatalkan beberapa perkhidmatan tren ke selatan dan timur Semenanjung berikutan kejadian banjir dan tanah runtuh di antara Bahau dan Tampin di Negeri Sembilan, hingga ke Kluang, Johor.
KTMB dalam satu kenyataan di sini berkata perkhidmatan yang terbabit ialah Ekpress Rakyat dari KL Sentral-Singapura/Singapura-KL Sentral, dan Ekspress Sinaran Timur dan Kuala Lipis-Singapura/Singapura-Kuala Lipis.
Bagi perkidmatan Gemas-Singapura, penumpang akan dibawa dengan bas dari Gemas ke Kluang sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura, manakala bagi perkhidmatan dari Singapura ke Gemas, perkhidmatan akan berhenti di Kluang
sebelum penumpang dibawa dengan bas ke Gemas. 
Penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu boleh membuat pertukaran tarikh perjalanan atau menuntut pemulangan tiket di kaunter KTM yang berhampiran, kata kenyataan itu.
Untuk pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di talian 1-300-88-5862.
Sementara itu Unit Komunikasi Korporat KTMB ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media mengenai status terkini perkhidmatan tren di sektor terbabit dari semasa ke semasa. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan