Rabu, Februari 09, 2011

Mangsa lemas masih gagal ditemui

KAMPUNG GELIGA BARU – Rasa hiba ibu mangsa lemas, Azizah Yahya, 46, yang masih lagi kelihatan trauma dan lemah dengan kejadian anaknya, Zainal Ikmal Abdullah, 12, yang dikhuatiri lemas sejak Jumaat lalu dikongsi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera yang turun menziarahi Azizah sekeluarga di rumahnya, petang semalam. 

Bagi meringankan penderitaan yang ditanggung mangsa sekeluarga, :Mohamed yang hadir bersama rombongan Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai turut menyampaikan sedikit sumbangan. 

Sejurus melawat keluarga mangsa, beliau dan rombongan Pejabat DUN Chukai turut melawat pusat operasi mencari dan menyelamat yang diwujudkan sejak empat hari lalu di tebing pantai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa. 

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat masuk hari keempat semalam namun mangsa yang dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ketika bermain bersama dua sepupunya pada Jumaat lalu masih gagal ditemui. 

Malah, pelbagai agensi yang terbabit dalam operasi menyelamat di pesisir pantai dan di lautan itu termasuk polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga terpaksa berdepan dengan keadaan arus lautan yang berpusar sekitar tempat kejadian dengan keadaan ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter dan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer/jam. 

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Che Wan Mohd Razak Che Wan Besar, walaupun keadaan pusaran air itu menyukarkan penyelam dari PGM Wilayah Tiga untuk mencari mangsa yang dikhuatiri tersangkut pada tunggul kayu tempat ditarik ombak, tetapi mereka tetap berusaha agar penyelam dapat melawan pusaran arus. 

Katanya, operasi semalam dimulakan sekitar jam 7.45 pagi menyaksikan empat penyelam PGM Wilayah Tiga turun menyelam bagi mengesan mangsa sebelum operasi menyelam disambung kira-kira jam 5 petang selain rondaan di sekitar pesisir pantai dan lautan lebih dipergiatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan