Rabu, Februari 09, 2011

Agih e-Book tiada unsur politik

KAMPUNG BUKIT DIMAN - Pengagihan e-Book oleh Kerajaan Negeri kepada murid Tahun Lima di negeri ini tidak mengandungi motif politik, sebaliknya menunjukkan cakna kerajaan terhadap aspek pendidi-kan anak Terengganu, sekali gus memberikan kemudahan dalam pembelajaran. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihak tertentu tidak seharusnya beranggapan sedemikian, sedangkan pengagihan e-Book diberikan kepada semua murid Tahun Lima tanpa mengira fahaman politik ibu bapa dan penjaga. 
Menurutnya, sektor pendidikan sememangnya diberi penekanan, malah telah dibuktikan apabila murid di negeri ini berjaya mencapai peningkatan dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam tempoh 10 tahun berturut-turut. 

“Pengagihan e-Book hari ini (semalam) membabitkan semua murid Tahun Lima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, biarpun ada dalam kalangan mereka mendapat pendidikan awal di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). 

“Diharap pengagihan itu mampu memberi suntikan semangat kepada murid untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan pada tahun depan. Namun, pemantauan ibu bapa amat diperlukan supaya tidak berlaku penyalahgunaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis Pembahagian e-Book 2011 DUN Ajil, Hulu Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman, di sini, semalam. 

Pada majlis itu, seramai 602 murid Tahun Lima dari 16 sekolah dalam DUN Ajil menerima e-Book. 

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid dan ADUN Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail. 

Sementara itu, seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Peris, Mohd Hazwan Fahmie Abd Razak, 11, berkata, dia benar-benar gembira kerana mendapat kemudahan e-Book itu dan berazam belajar bersungguh-sungguh selepas ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan