Sabtu, Februari 12, 2011

Kerajaan Terengganu Bantu Keluarga Tain


Kerajaan negeri akan berusaha menyediakan sebuah rumah kediaman kepada keluarga Encik Tain Abdul, 65 dan isteri Ummi Kalthsum Ghazali, 36 yang tinggal di Lorong 9, Jalan Bandar Baru, Pulau Kambing, Kuala Terengganu petang ini (10 Februari).

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang membuat kunjungan ke rumah keluarga berkenaan berkata, insyaAllah usaha sedang dibuat untuk menyediakan tempat kediaman kepada keluarga ini.


Turut bersama dalam lawatan tersebut, Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),  Encik Zuhami Omar dan Pasukan Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu diketuai Datuk Fatimah Hamad.

Encik Tain yang bekerja sebagai tukang cat dengan beroleh pendapatan  yang tidak menentu, mempunyai lima orang anak dan dua daripadanya mengalami kecacatan dan  tinggal menyewa RM170 sebulan..

Radziah,12 anak kedua bagi pasangan ini, mengalami terencat akal akibat diserang demam panas ketika berusia tiga bulan dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Padang Hiliran.

Manakala Mohd Fairul Razzi, 21 bulan mempunyai masalah lebihan cecair dalam kepala (kepala besar) turut mempunyai masalah usus bocor dan apandik dan perlu membuat rawatan susulan setiap sembilan bulan di hospital.

Namun begitu,Mohd Fairul Razzi menerima bantuan bulanan dari JKM RM300 sebulan untuk keperluan membeli susu dan lampin pakai buang serta keperluan lain.

To’ Puan Seri Norliza berkata, kerajaan akan menggunakan  peruntukan di bawah Tabung Penyakit Kronik dan akan membantu  apa yang juga keperluan selepas ini.

“Pihak JKM juga akan memberi bantuan bulanan RM300 kepada penjaga dua beradik berkenaan bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Skuad Sayang turut menyumbangkan barang-barang keperluan harian kepada keluarga Encik Tain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan