PUTRAJAYA 28 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak yang amat berpuas hati  dengan penyertaan pada Himpunan Sejuta Belia kali ini mahu sambutan  lebih besar pada tahun depan dengan sasaran penglibatan dua juta belia.
Perdana Menteri berkata, perhimpunan yang lebih hebat akan dianjurkan untuk mencapai sasaran tersebut.
''Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan) ada tanya  saya apakah sasaran pengunjung tahun depan yang menjadi petunjuk  prestasi utama (KPI) beliau, jadi, kita letak satu sasaran yang lebih  munasabah iaitu dua juta belia.
''Dalam tempoh seminggu, sasaran dua juta belia itu mungkin boleh  dicapai. Kita akan buat perhimpunan yang lebih hebat supaya Putrajaya  dipenuhi lautan belia dari permulaan Boulevard hingga ke penghujung  Boulevard, kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia aman dan  stabil," katanya ketika berucap pada Himpunan Sejuta Belia di sini hari  ini.
Sementara itu, Perdana Menteri hari ini melakukan tinjauan mesra  paling lama iaitu dalam masa separuh hari dan turut menyempurnakan 16  program di sini hari ini.
Walkabout yang bermula pukul 2.45 petang menerusi trem itu diadakan sempena sambutan Himpunan Sejuta Belia 2011.
Lawatan Najib itu turut memberinya peluang untuk beramah mesra dengan para belia di sembilan tempat yang dilawatinya.
Bermula dengan lawatan ke program sukan lasak, Sasuke Malaysia,  beliau menyempurnakan pelancaran aktiviti dari Jepun itu dengan  melepaskan juara Jepun, Makoto Nagano menandakan bermulanya cabaran.
Di setiap perhentian, beratus belia berebut-rebut untuk bersalam  dengan Perdana Menteri serta mengambil peluang bergambar dengan pemimpin  nombor satu negara itu. 
Dalam lawatan itu, Najib turut melancarkan Program Latihan 1 Malaysia, kad keahlian Ride It Right dan program Sejuta Impian terbitan TV3.
Tarian perang yang dipersembahkan oleh pegawai kadet Universiti  Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan demonstrasi menyelamat tebusan  kapal oleh Rejimen ke-11 Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  turut menarik perhatian Perdana Menteri. 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan