Isnin, Mei 30, 2011

PDRM Perkemas Inisiatif Kurangkan Jenayah Untuk Jayakan CAT

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkemas semua inisiatifnya dalam mengurangkan kadar jenayah bagi menjayakan program "Crime Awareness Team (CAT)", yang menyasar penglibatan golongan belia dalam aktiviti pencegahan jenayah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata inisiatif seperti mendekatkan polis dengan masyarakat melalui polisi berorientasikan komuniti, pegawai perhubungan sekolah dan Rakan Cop, mampu memberi impak kepada golongan itu agar mereka lebih peka terhadap keperluan untuk bersama menjaga keselamatan serta ketenteraman negara.


"PDRM juga akan turut secara langsung membantu pihak Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan aktiviti yang telah dirangka, termasuklah kursus kepimpinan CAT, 'Info on Wheels', capaian di kawasan panas, CAT@Community dan kem interaktif Kepimpinan CAT peringkat kebangsaan," katanya dalam kenyataan.


Beliau yang menghargai penubuhan CAT berkata selain inisiatif sedia ada, PDRM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan, akan merangka strategi dan aktiviti yang bermanfaat kepada lebih 10 juta belia di negara ini.


Katanya, PDRM juga akan memberi tumpuan terhadap strategi pencegahan jenayah di kalangan remaja di kawasan panas dengan memantau trend serta mengambil tindakan mencegah kegiatan itu dan salah laku membabitkan belia.


Selain itu, Ismail berkata kemudahan prasarana terutama teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) PDRM akan dipertingkat serta menjadi platform utama bagi membantu golongan belia menyalurkan maklumat berkaitan pencegahan jenayah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan