Selasa, Mac 01, 2011

Terengganu cari imam pelapis untuk masjid mukim


BESUT 28 Feb. – Terengganu mencari imam pelapis yang layak dan mampu bertugas di masjid mukim di seluruh negeri itu bagi memastikan pengurusan solat serta aktiviti keagamaan yang dilaksanakan menepati matlamat.

Mufti Negeri Terengganu Datuk Alias Abdullah berkata pihaknya terpaksa berhati-hati memilih imam yang bertugas di masjid mukim kerana mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti fasih membaca Al-Quran serta memahami rukun dalam agama.

Beliau berkata pada masa ini, kira-kira 85 peratus daripada lebih 1,100 imam masjid mukim sedia ada terdiri daripada mereka yang berumur lebih 60 tahun.

"Kita perlu mencari barisan pelapis kepada imam-iman berusia ini agar pengimarahan masjid dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Alias menyampaikan ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Besut di Dewan Wisma Persekutuan Kampong Raja di sini.

Beliau berkata melalui proses temuduga pengambilan imam mukim yang sedang berjalan di seluruh negeri, hampir 70 peratus daripada calon tidak memenuhi kriteria.

Alias berkata mereka tidak fasih membaca Al-Quran, tidak mendalami hukum Islam serta tidak mampu daripada segi fizikal dan mental.

Katanya, mereka yang terpilih akan ditempatkan sebagai imam di masjid mukim dan dibayar elaun bulanan sebanyak RM800. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan