Khamis, Januari 06, 2011

Mangsa banjir di Terengganu meningkat

KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Keadaan banjir di Terengganu malam ini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 692 orang daripada 65 keluarga berbanding 144 orang petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, sehingga pukul 8 malam ini seramai 414 orang daripada 210 keluarga di Hulu Terengganu dipindahkan berbanding 52 orang petang tadi.

Mukim-mukim yang terlibat dengan banjir di Hulu Terengganu ialah Hulu Telemong, Hulu Berang dan Bukit Diman, katanya ketika dihubungi di sini.

Di Setiu pula, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 259 orang membabitkan 65 keluarga berbanding 92 orang daripada 28 keluarga sebelum ini.

Jurucakap itu berkata, di Kemaman 19 orang daripada lima keluarga di Padang Kubu dipindahkan ke pusat pemindahan petang ini.

Sebanyak 14 pusat pemindahan dibuka sehingga pukul 8 malam ini iaitu sembilan di Hulu Terengganu, satu di Kemaman dan empat di Setiu, katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan