Rabu, November 17, 2010

Pautan akhbar Utusan Malaysia 2

ARKIB : 19/08/2008

Kelab radio eksklusif KPFM permudah hubungan ahli


MUAR 18 Ogos - Sebuah kelab radio eksklusif, Kelab Pemancar FM (KPFM) Segamat di sini mencatat sejarah apabila berjaya membuka alat pengulang atau 'repeater' untuk kemudahan 100 ahlinya berhubung antara satu sama lain di Felda Medoi, Segamat baru-baru ini.

Kewujudan alat pengulang yang pertama diwujudkan di kawasan tanah rancangan itu membolehkan ahli- ahli KPFM yang berada di sekitar Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang serta sempadan Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang berhubung sesama mereka melalui frekuensi 143.700.  Pengerusi KPFM Segamat, Bonasir Rakijan, 43, berkata, sejak ditubuhkan pada 14 April lalu, kewujudan alat pengulang di Felda Medoi baru-baru ini merupakan satu kejayaan bagi kelab itu.  "Kami berbangga kerana alat pengulang yang membolehkan frekuensi itu dipasang di sebuah tanah rancangan dan KPFM kini di peringkat perbincangan untuk memperkenalkan alat pengulang yang sama di beberapa tanah rancangan lain untuk kemudahan ahli tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan 100 ahli KPFM, di sini baru-baru ini.

Kelab radio eksklusif berbeza daripada kelab-kelab radio amatur kerana ia merupakan frekuensi berbayar yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).  Menurut Bonasir, kelab itu ditubuhkan untuk kemudahan penggemar alat perhubungan radio yang tidak mempunyai lesen radio amatur.  Yuran yang dikenakan untuk menjadi ahli kelab radio eksklusif berkenaan adalah RM50 untuk pendaftaran dan RM100 sebagai yuran tahunan.  Pihaknya memilih Felda Medoi kerana kawasan itu merupakan lokasi yang tertinggi untuk membolehkan frekuensi radio kelab itu diterima di daerah Segamat.

"Kelebihan menyertai kelab radio eksklusif ini adalah ahli boleh berhubung antara satu sama lain khususnya di kawasan yang tidak dapat menerima liputan telekomunikasi seperti telefon tetap dan telefon bimbit.  "Sebagai contoh, ketika banjir melanda Johor penghujung 2006, penggunaan komunikasi melalui radio ini amat penting untuk memaklumkan situasi kawasan yang dilanda banjir," katanya.  Malah, ahli-ahli KPFM juga boleh berhubung sesama mereka dalam mengadakan kawalan keselamatan kampung kerana kebanyakan ahlinya adalah anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Mereka yang berminat untuk menjadi ahli KPFM boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Bonasir di 019-7040072 atau Halimi Jawahir untuk daerah Muar dan Batu Pahat di 016- 6634080.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan