Khamis, November 18, 2010

400 anggota pengakap didedahkan penggunaan radio amatur

ARKIB : 22/10/2010



MUAR 21 Okt. – Lebih 400 ahli pengakap dari daerah ini dan kawasan sekitar menjayakan program Jamboree On The Air (JOTA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Maharani di sini baru-baru ini, bertujuan memberi pendedahan mengenai pengendalian radio amatur.

Program perkhemahan selama dua hari bermula 16 Oktober lalu itu menghimpunkan peserta dengan matlamat mengeratkan hubungan pengakap melalui komunikasi rangkaian penggunaan radio amatur.  Lebih membanggakan, program tersebut menarik penyertaan anggota pengakap dari usia 10 tahun dan ia turut membabitkan juga golongan ibu bapa.  Penolong Pesuruhjaya Pengakap negeri, Den Atan berkata, beliau berbangga melihat pengakap memberanikan diri untuk belajar menggunakan peralatan radio dan elektronik dalam berkomunikasi dengan pengguna radio dari luar negara.

“JOTA ini adalah perhimpunan anggota pengakap dari seluruh dunia di udara yang menghubungkan pengakap menerusi teknologi komunikasi radio amatur.   “Uniknya program ini, peserta tidak perlu ke luar negara untuk menyertai jamboree, sebaliknya, keseluruhan aktiviti dapat dijalankan di sesuatu kawasan dengan bimbingan Station Master yang bertauliah sebagai pengendali pemancaran radio amatur,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.   Menurutnya, penggunaan radio amatur dalam bidang komunikasi adalah amat luas kerana dapat menghubungkan seseorang sama ada di kawasan atau ke seluruh dunia dengan menggunakan set radio amatur yang tertentu pada frekuensi tertentu.   Katanya, program tersebut merupakan anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Muar serta Krew Radio Amatur Pengakap Johor (Josrac).   “Tahun ini adalah tahun ke-53 bagi penganjuran JOTA yang turut diadakan serentak adalah Jamboree On The Internet (JOTI) ke-14.

“Menerusi program ini, kita dapat memperkenalkan kepada pengakap yang komunikasi radio amatur ini adalah hobi berguna dalam menjana kreativiti dan pembangunan diri peminat radio,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan