Sabtu, Januari 04, 2014

Gagasan sokong kerajaan negeri adakan program T-English

KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) negeri Terengganu meminta masyarakat melihat program T-English anjuran kerajaan negeri daripada sudut yang lebih positif demi masa depan generasi akan datang.
Setiausahanya, Syed Anuar Syed Mohamd berkata, pihaknya berharap tiada unsur-unsur negatif dihamburkan oleh masyarakat terhadap program tersebut yang melihat seolah-olah kerajaan hendak menginggeriskan masyarakat.
Isnin lepas, kerajaan Terengganu mengumumkan akan melancarkan program tersebut iaitu program yang memberi fokus menguasai Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan pelajar tingkatan tiga dan empat di negeri itu.
Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM3.3 juta untuk program itu yang dijangka bermula di 32 sekolah iaitu satu sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Syed Anuar berkata, pihaknya yakin program itu mampu melonjakkan penguasaan BI dalam kalangan pelajar khususnya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang telah disyaratkan wajib lulus subjek BI.
"Gagasan berpendapat langkah proaktif itu akan mempertingkatkan keyakinan pelajar agar mereka tidak akan melihat subjek BI sebagai subjek yang menggerunkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan