Sabtu, Januari 04, 2014

Angin kencang, laut bergelora berterusan sehingga Isnin

KUALA LUMPUR - Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, Koh Samui di Thailand, Tioman dan Bunguran di Indonesia, dijangka berterusan sehingga Isnin depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, angin kencang Timur Laut berkelajuan dari 40 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu berbahaya kepada bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Selain itu, angin kencang yang bertiup dari 50km/j serta ombak setinggi 4.5 meter yang melanda kawasan perairan Condore & Reef North dijangka berterusan sehingga Jumaat depan.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Perak, Pahang, Miri, Wilayah Persekutuan Labuan dan pantai barat Sabah dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan