KUALA NERUS - Mereka berkhidmat tanpa sebarang
ganjaran, malah ada ketikanya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk
memastikan bakti kepada masyarakat tetap berterusan.
Itulah sumbangan dan usaha murni dilakukan
pasukan bomba sukarela dari Balai Bomba Sri Nerus, yang mana matlamat mereka
hanya satu, iaitu berbakti kepada masyarakat dengan sebaiknya.
Namun, masih ramai tidak menyedari sumbangan
besar pasukan terbabit yang sudah lebih tiga tahun ditubuhkan, khususnya
melibatkan kes kebakaran, kemalangan dan sebagainya.
Lebih membanggakan, pasukan yang dianggotai 50
ahli itu kekal dengan komitmen dan khidmat terbaik, meskipun kerja yang
dilakukan mereka tidak bergaji.
Peralatan serba kekurangan
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Balai Sri Nerus,
Mohd Ariff Tengah berkata, walaupun bergerak dalam kelengkapan serba
kekurangan, ia tidak menjadi penghalang buat pasukannya memberikan khidmat
terbaik seiring dengan tujuan asal penubuhan pasukan tersebut.
“Balai yang mula didiami sepenuhnya kira-kira
enam bulan lalu ini secara jujurnya serba kekurangan, di mana bukan sahaja
ruang terhad, malah peralatan juga belum mencukupi.
“Namun, ia bukanlah satu masalah besar buat kami
selaku pasukan sukarela yang mana matlamatnya adalah untuk menjadikan pasukan
terawal tiba di tempat kejadian memandangkan kedudukan balai bomba jauh di
Kuala Terengganu,” katanya.
Mohd Ariff mengakui ada kalanya terpaksa
menggunakan pelbagai alternatif untuk mencari sumbangan bagi merancakkan lagi
usaha menabur bakti kepada masyarakat sekeliling.
Namun dalam masa sama beliau bersyukur kerana
kesemua ahli pasukan sanggup berkorban dengan sama-sama menanggung kos bagi
setiap operasi yang dilalui.
“Selain memperoleh bangunan bernilai kira-kira
RM150,000 daripada peruntukan kerajaan Pusat, pasukan kami juga turut
dibekalkan sebuah pacuan empat roda untuk melancarkan lagi operasi bantuan.
“Namun, kenderaan yang digunakan itu lebih
tertumpu untuk membawa peralatan menyelamat, manakala ahli yang terlibat dalam
operasi akan menggunakan kenderaan sendiri untuk pergi ke lokasi,” katanya.
Sebab itu katanya, komitmen dan semangat juang
tinggi sangat dituntut bagi mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti
sukarelawan.
KLIK DISINI untuk berita selanjutnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan