Jumaat, September 30, 2011

KEJADIAN RIBUT LUAR BIASA DI KUALA TERENGGANU

Foto

KUALA TERENGGANU: Ribut dan hujan lebat melanda bandar raya ini selama kira-kira 10 minit malam kelmarin, memusnahkan pelbagai harta benda awam, premis perniagaan, kedai dan gerai makan serta kediaman mengakibatkan kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Malah, kejadian ribut pada jam 8.45 malam itu menyebabkan perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, yang menyaksikan Terengganu menentang Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan kira-kira 40 minit selepas enam minit perlawanan bermula, berikutan angin kencang dan hujan lebat menjejaskan aksi pemain.


MBKT sudah bersih kawasan terjejas supaya peniaga boleh memulakan perniagaan semula. - Zakaria Yusoff, Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu

Tinjauan Berita Harian mendapati, antara kawasan terjejas teruk kesan ribut ialah Dataran Shahbandar, Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Pejabat dan jeti bot penambang bersebelahan pasar payang serta beberapa lokasi yang terdedah sekitar bandar.

Kejadian ribut itu memusnahkan jeti Shahbandar yang baru siap dibina awal tahun ini apabila bumbungnya runtuh, selain bumbung beberapa kedai di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) tercabut, cermin pusat beli-belah Astaka musnah, pintu gerbang Dataran Shahbandar tumbang dan khemah peniaga di Dataran Shahbandar dan Medan Selera Tanjung roboh dibadai angin kencang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, berkata kejadian ribut itu memusnahkan lapan unit kedai di PBKP yang bumbungnya tercabut, menyebabkan peniaga kain sutera dan songket, kedai cenderamata dan tembaga mengalami kerugian apabila barang jualan rosak akibat terkena serpihan bumbung dan hujan.

"Kejadian ini turut menjejaskan 30 peniaga lain apabila premis mereka rosak. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membantu membersihkan kawasan terjejas supaya peniaga boleh memulakan perniagaan semula," katanya.



Peniaga kedai makan di Medan Selera Tanjung, Samad Ali, 31, berkata, kejadian sekelip mata itu menyebabkan pelanggan dan pekerja yang menjamu selera di situ lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila bumbung kanopi runtuh.

"Mujur tiada kemalangan jiwa. Namun, ada pelanggan dan pekerja cedera ringan ketika masuk ke dapur untuk berlindung,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan semua rumah yang rosak akibat kejadian ribut malam kelmarin dibaiki segera.

"Saya mendapat laporan kira-kira 100 rumah di Kampung Seberang Takir rosak teruk selepas bumbung rumah berkenaan diterbangkan ribut," katanya selepas mesyuarat Exco, semalam.

Ahmad berkata antara daerah yang teruk terjejas akibat kejadian ribut itu ialah Kuala Terengganu, Besut dan Dungun.

"Jumlah kerugian belum diketahui dan kerajaan negeri masih menunggu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi berkata, kejadian ribut itu bukan kesan daripada taufan Nesat yang melanda Filipina, sebaliknya disebabkan penumpuan angin yang menyebabkan berlaku pergolakan di kawasan terbabit. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan