Rabu, Mei 11, 2011

Parlimen Thai Bubar Selasa


BANGKOK, 9 Mei (Bernama) - Parlimen Thailand akan dibubarkan Selasa, memberi laluan untuk pilihan raya umum yang secara tentatif ditetapkan 3 Julai.

Pemangku jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn berkata Raja Bhumibol Adulyadej hari ini meluluskan dikri diraja bagi pembubaran Parlimen sebagaimana dipohon oleh oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva pada Jumaat.


"Perdana Menteri akan berucap ke seluruh negara malam ini untuk menjelaskan tentang pembubaran Parlimen dan proses pilihan raya umum," katanya.

Berdasarkan Perlembagaan, pilihan raya perlu diadakan antara 45 hingga 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Penggal kerajaan sekarang akan berakhir pada Disember tahun ini. Penggal bagi kerajaan baru ialah empat tahun.

Sebelum pembubaran, kerajaan campuran tujuh parti yang dipimpin oleh Demokrat menguasai 278 kerusi di Dewan Perwakilan yang mempunyai 474 kerusi.

Dua parti pembangkang, Pheu Thailand dan Pracharaj, menguasai 194 kerusi sementara bebas menduduki dua.

Dewan Perwakilan baru akan terdiri daripada 375 kawasan Anggota tunggal Parlimen (MP) dan 125 anggota parlimen senarai parti berbanding 400 anggota tunggal parlimen dan 100 ahli parlimen senarai parti selepas pindaan Seksyen 93-98 Perlembagaan pada Mac.

Mahkamah Perlembagaan hari ini menyelesaikan tiga undang-undang organ berkaitan pilihan raya yang disahkan oleh Parlimen baru-baru ini selaras dengan pindaan Perlembagaan pada Mac.

Ketiga undang-undang itu adalah berkaitan dengan pemilihan anggota parlimen, senator, parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Terdapat lebih daripada 50 parti politik berdaftar di negara ini tetapi pesaing utama untuk pilihan raya umum akan datang adalah antara Demokrat dipimpin oleh Abhisit dan Pheu Thai dipimpin oleh pemimpin de facto Thaksin Shinawatra, bekas perdana menteri yang tinggal dalam pengasingan diri.

Pentingnya parti-parti kecil yang lain tidak boleh diketepikan kerana mereka menjadi faktor penentu dalam membentuk kerajaan akan datang jika dua pesaing utama gagal mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kerajaan sekarang terbentuk menerusi tujuh parti campuran yang bergabung selepas pilihan raya umum lalu.

Demokrat menguasai 172 kerusi sementara Pheu Thai 186 kerusi pada ketika ini tetapi Pheu Thai gagal membentuk kerajaan kerana Demokrat menguasai kerusi majoriti di Dewan Perwakilan setelah membentuk gabungan dengan parti-parti kecil yang lain.

Terdapat lebih daripada 44 juta pengundi di negara ini dengan populasi 65 juta orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan