Selasa, Februari 22, 2011

BAGAIMANA HENDAK MENJADI STESYEN RADIO AMATUR

BAGAIMANA HENDAK MENJADI STESYEN RADIO AMATUR
DI MALAYSIA


 PENGENALAN

Perkhidmatan radio amatur telah wujud di kebanyakkan negara di dunia ini dan berkomunikasi menggunakan ulangan yang sama . Di Malaysia , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( MCMC ) adalah sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia  Stesyen Radio Amatur.

Untuk menjadi pengendali sesebuah stesyen radio amatur , seseorang itu mestilah memiliki Lesen Penguntukan Radas ( Apparatus Assignment ) yag sah atau bagi stesyen radio amatur negara lain yang mempunyai perjanjian timbal balik dengan Malaysia.

Negara-negara tersebut ialah :

Thailand , Indonesia , Laos , Vietnam , Myanmar , India , China , Mongolia , Eropah , United Kingdom , Republik Jerman , Switzerland , Finland dan Republik Czechoslovakia.


APA ITU RADIO AMATUR ?

Perkhidmatan Radio Amatur didefinasikan didalam Akta Komunikasi dan Multimedia ( Spektrum ) , Peraturan tahun 2000 sebagai Perkhidmatan Radio Komunikasi ( termasuk Terrestrial dan Satellite ) dimana sesebuah stesyen digunakan bagi tujuan latihan sendiri , berkomunikasi dan kajian teknikal yang dibuat oleh seseorang yang ditauliahkan yang berminat dalam teknikal radio khususnya secara persendirian dan tanpa mempunyai niat lain.

Jutaan Pengendali Stesyen Radio Amatur berkomunikasi setiap hari diantara satu sama lain dengan menggunakan stesyen pengulang dan satelit amatur. Pengendali Stesyen Radio Amatur hendaklah memberikan perkhidmatan alternatif ketika berlakunya bencana sekiranya perkhidmatan komunikasi komersil tidak berfungsi dan ketiadaan kemudahan komunikasi yang lain.

Radio Amatur telah diiktiraf sebagai salah sebahagian yang penting didalam komuniti radio. Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa ( I T U ) telah menguntukkan jaluran ulangan tertentu untuk perkhidmatan radio amatur dalam bentuk asas perkongsian kepada semua stesyen radio amatur di dunia ini.

PERKARA-PERKARA YANG DIBENARKAN

Pengendali Stesyen Radio Amatur kebiasaannya dikenali sebagai  Ham Radio Operator ” atau ” HAM . Aktiviti-aktiviti yang dibenarkan adalah seperti berikut :

1.            Berkomunikasi dengan stesyen radio amatur di seluruh dunia dengan radio HF.

2.            Berkomunikasi diantara bandar-bandar dengan menggunakan radio VHF dan UHF.

3.            Memberi perkhidmatan komunikasi ketika berlakunya bencana alam sekiranya tidak
terdapat alat komunikasi yang lain atau tidak berfungsi.

4.            Membina sendiri radio , alat pemancar , alat penerima dan antena.

5.            Berkomunikasi melalui satelit amatur di orbit tanpa sebarang kos.

6.            Berkomunikasi dengan angkasawan ketika mengelilingi dunia.

7.            Membuat kajian dengan Amatur TV ( ATV ) , Slow Scan TV ( SSTV ) atau menghantar gambar potret dengan menggunakan faksimili.

8.            Mengambil bahagian didalam sebarang pertandingan Radio Amatur atau membina sendiri peralatan pandu arah.

9.            Mengambil bahagian dalam aktiviti mencari dan menyelamat.



PERKARA-PERKARA YANG TIDAK DIBENARKAN


Secara khususnya , terdapat beberapa perkara yang mana stesyen radio amatur dilarang melakukannya :

1.            Pengendali stesyen radio amatur dilarang sama sekali mencari sumber kewangan melalui radio.

2.            Pengendali stesyen radio amatur dilarang sama sekali memancarkan siaran kepada umum. Pemancaran radio amatur adalah untuk diterima oleh pengendali stesyen radio amatur sahaja.


SIJIL PENGENDALI RADIO AMATUR


Peraturan 27 ( 1 ) Akta Komunikasi dan Multimedia ( Technical Standard ) Peraturan 2000. Tiada sesiapa yang dibenarkan mengambil alih atau melakukan sebarang aktiviti kecuali ia mempunyai tauliah. Pengendali radio amatur adalah diwartakan  dibawah peraturan dan untuk mengoperasikan sesebuah stesyen radio amatur seseorang itu mestilah mempunyai kewibawaan dan kemahiran yang telah ditetapkan.


Sijil Pengendali Radio Amatur adalah satu sijil yang dapat membuktikan bahawa pengendali berkenaan mempunyai pengetahuan yang secukupnya didalam bidang tersebut dan dapat mengendalikan stesyen radio amatur dengan betul dan bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang.


Terdapat dua kelas Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur :


1.            Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur Kelas A ( AROC Class A ).
2.            Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur Kelas B ( AROC Class B ).


SIJIL PENGENDALI RADIO AMATUR KELAS A

Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur kelas A melayakkan pemegang sijil untuk memohon ASAA Class A. Untuk kelayakan seseorang itu diwajibkan lulus Peperiksaan Radio Amatur ( RAE ) dan ujian amali kod morse atau CW Test.

Mulai 1 April 2007, kelulusan ujian amali kod morse tidak diperlukan. Walaubagaimana pun ujian amali kod morse akan dianjurkan untuk tujuan pengiktirafan atau kemahiran.

SIJIL PENGENDALI RADIO AMATUR KELAS B

Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur kelas B melayakkan pemegang pemohon untuk memohon ASAA Class B sahaja. Untuk kelayakan mendapat sijil ini seseorang itu mestilah lulus didalam Peperiksaan Radio Amatur.

BAGAIMANA UNTUK MENGAMBIL BAHAGIAN DIDALAM RADIO AMATUR

Untuk mengendalikan Stesyen Radio Amatur, pengendali mestilah memegang Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur yang dikeluarkan oleh SKMM ( MCMC ). Permohonan boleh di buat dimana-mana pejabat Wilayah SKMM ( MCMC ). Tanda Panggilan ( CallSign ) akan diberikan kepada pemohon yang berjaya mengikut Kelas Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur.  Sijil Penguntukan Radas Radio Amatur membenarkan pemegang untuk mengambil bahagian dan mengoperasikan Stesyen Radio Amatur.

Peruntukan Tanda Panggilan ( Call Sign ) di Malaysia adalah seperti berikut :

Semenanjung Malaysia         -           Kelas A                                   -           9 M 2 x x x
                                                           Kelas B                                   -           9 W 2 x x x

Sabah                                     -           Kelas A                                   -           9 M 6 x x x
                                                           Kelas B                                   -           9 W 6 x x x

Sarawak                                 -           Kelas A                                   -           9 M 8 x x x
                                                           Kelas B                                   -           9 W 8 x x x


PENGUNTUKAN RADAS RADIO AMATUR


Semua Stesyen Radio Amatur mestilah mempunyai lesen yang sah daripada SKMM ( MCMC ) sebagai sebuah badan berkuasa untuk industri komunikasi di Malaysia. Anda mestilah memiliki sijil Penguntukan Radas Radio Amatur ( ASAA ) untuk mengendalikan Stesyen Radio Amatur.

Di bawah kategori radio amatur terdapat tiga kelas iaitu :

1.            Permohonan untuk Penguntukan Radas ( Perkhidmatan Amatur ) ASAA kelas A dan B

2.            Permohonan untuk Penguntukan Radas ( Perkhidmatan Mobil ) borang untuk Stesyen Pengulang ( Repeater ) Amatur


Tempoh sah Penguntukan Radas Radio Amatur ( ASAA ) adalah diantara 3 bulan hingga 5 tahun.


KELAYAKAN UNTUK MEMOHON PENGUNTUKAN RADAS RADIO AMATUR

Untuk kelayakan , pemohon mestilah :

1.            Berumur tidak kurang dari 18 tahun untuk kelas A dan berumur tidak kurang dari 14 tahun untuk kelas B

Bagi pemohon dibawah umur 21 tahun, dikehendaki mendapat pengesahan daripada ibubapa, penjaga atau mana-mana pihak yang akan bertanggungjawab.

2.            Warganegara Malaysia atau warganegara asing yang mempunyai perjanjian timbal balik ( Reciprocal Aggrement ) dengan Malaysia.

3.            Pemegang Sijil Pengendali Stesyen Radio Amatur ( AROC ) kelas A atau B hendaklah mengemukakan salinan keputusan Peperiksaan Radio Amatur kepada SKMM ( MCMC ).


KEPERLUAN PEMATUHAN


Pemegang Sijil Penguntukan Radas Radio Amatur ( ASAA ) mestilah akur dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang dan pindaan yang dibuat.


KEPERLUAN PEMATUHAN ANTARABANGSA

Pemegang Sijil Penguntukan Radas Radio Amatur ( ASAA ) mestilah akur dengan Peraturan Radio ( Radio Regulation ) Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa ( ITU ) dan Konvensyen Telekomunikasi Antarabangsa ( ITC ).

Penggunaan ulangan untuk stesyen pengulang yang mengoperasikan jalur Ulangan Amat Tinggi ( VHF ) dan Ulangan Teramat Tinggi ( UHF ) dalam jarak 50 kilometer daripada sempadan Malaysia akan memerlukan Koordinasi Sempadan dengan negara jiran berkenaan.

YURAN PENGUNTUKAN RADAS RADIO AMATUR

Yuran Penguntukan Radas Radio Amatur adalah seperti jadual dibawah :

Kelas
Yuran Permohonan
Yuran Tahunan
Kelas A
RM 60.00
RM 36.00
Kelas B
RM 60.00
RM 24.00
Stesen Pengulang Amatur
RM 60.00
RM 60.00



PERJANJIAN OPERASI TIMBAL BALIK

Stesyen Radio Amatur negara luar boleh memohon dibawah perjanjian operasi timbal balik dengan Malaysia. SKMM ( MCMC ) akan mengeluarkan ASAA kepada stesyen amatur luar negara sekiranya permohonan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pengeluaran lesen berkenaan mengikut kelas lesen dari negara asal.

ASAA hanya akan dikeluarkan tidak melebihi tempoh masa sah yang dikeluarkan oleh negara asal atau setahun atau mana yang terdahulu.

Stesyen Radio Amatur negara luar yang tidak ada mempunyai perjanjian operasi timbal balik dengan Malaysia akan dipertimbangkan pengeluaran lesen bergantung kepada kes-kes tertentu sahaja. Walau bagaimana pun pengesahan dari ahli MARTS akan dipertimbangkan.

PEPERIKSAAN

Terdapat dua jenis peperiksaan Radio Amatur :

1.            Peperiksaan bertulis Radio Amatur ( RAE ).

2.            Peperiksaan amali Kod Morse ( CW Test ).
PEPERIKSAAN RADIO AMATUR ( RAE )

Peperiksaan bertulis merangkumi tajuk-tajuk berikut ;

1.                    Teori Eletrik , Eletronik dan Radio Komunikasi.

2.            Teori dan Operasi peralatan radio termasuk sistem antenna , pemancar , penerima , amplitude , modulasi ulangan dan teknik single sideband.

3.            Peraturan yang dibuat dibawah akta yang membolehkan mana-mana stesyen ujud dan beroperasi dan termasuk perkhidmatan kajian amatur.

4.            Peraturan Radio Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa ( ITU ) membolehkan stesyen radio amatur beroperasi dan melakukan kajian dan tertakluk kepada peraturan operasi stesyen radio amatur secara amnya.

Terdapat 100 soalan didalam peperiksaan ini dalam bentuk objektif dan calun diberi masa selama 3 jam untuk menjawab kesemua soalan. Setiap jawapan yang salah tidak akan dipotong markah.


UJIAN KOD MORSE ( CW TEST )


Adalah satu peperiksaan amali untuk mengukur keupayaan dan kemahiran pengendali stesyen radio amatur.

1.            Berupaya menghantar mesej dengan betul dengan menggunakan kekunci telegraf samada kekunci separuh otomatik atau kekunci eletronik dalam tempoh 3 minit dengan kelajuan bahasa biasa termasuk angka , Isyarat Khas , Kod ’Q’ dan isyarat kecemasan didalam Kod Morse Antarabangsa.

2.            Berupaya menerima mesej dengan betul dengan menggunakan kekunci telegraf samada kekunci separuh otomatik atau kekunci eletronik dalam tempoh 3 minit dengan kelajuan bahasa biasa termasuk angka , Isyarat Khas , Kod ’Q’ dan isyarat kecemasan didalam Kod Morse Antarabangsa.

Calun mestilah berupaya mengantar mesej sebanyak 36 perkataan ( lebih kurang lima huruf satu perkataan ) dalam bahasa biasa dalam masa tiga minit dengan kelajuan 12 perkataan seminit tanpa isyarat pembetulan. Maksimum empat kesalahan dan empat isyarat pembetulan adalah dibenarkan.

Calun mestilah berupaya menerima mesej sebanyak 36 perkataan ( lebih kurang lima huruf satu perkataan ) dalam bahasa biasa dalam masa tiga minit dan setiap angka dan huruf yang diterima salah dikira satu kesilapan. Satu perkataan yang mana satu atau lebih huruf yang diterima salah dikira dua kesilapan. Maksimum empat kesilapan didalam bahasa biasa dan maksimum dua angka yang diterima salah dibenarkan.

BAGAIMANA UNTUK MEMOHON MENDUDUKI PEPERIKSAAN

Peperiksaan akan diadakan dari masa ke semasa. Tarikh , Masa dan Tempat akan ditentukan oleh SKMM ( MCMC ). Notis penghebahan akan dibuat melalui media cetak dan eletronik. Terma dan syarat , peraturan permohonan , cara pembayaran dan lain-lain yang berkaitan dengan peperiksaan akan juga dimaklumkan.

YURAN PEPERIKSAAN

Yuran peperiksaan adalah seperti berikut :

1.         Peperiksaan Radio Amatur ( RAE )              -           RM 50.00

2.         Ujian Kod Morse ( CW TEST )                     -           RM 50.00

Yuran peperiksaan tidak akan dikembalikan kepada calun sekiranya menarik diri atau tidak hadir pada tarik peperiksaan. Yuran tidak boleh dipindah dari satu tarikh peperiksaan ke tarikh peperiksaan yang lain atau dari calun kepada calun yang lain.

HAD KELAYAKAN UMUR

Had kelayakan umur minima untuk menduduki Peperiksaan Radio Amatur ( RAE ) adalah 14 tahun.

Had kelayakan umur minima untuk menduduki Ujian Morse Kod ( CW Test ) adalah 18 tahun.

Stesyen Radio Amatur Kelas A diberi keutamaan untuk pemancaran kuasa tinggi tetapi perlu mengambil kira dan bertanggungjawab ketika beroperasi/mengendali stesyen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan