Sabtu, Januari 18, 2014

Seorang remaja dikhuatiri lemas dipukul ombak


PASIR PUTEH - Seorang remaja perempuan hilang dan dikhuatiri lemas manakala empat rakannya yang hampir lemas terselamat, ketika mandi dan berkelah di pantai Air Tawar, Kuala Tok Bali di sini hari ini.

Norfarahani Yusof, 19, hilang dihanyut ombak manakala sepupunya Norafiqah Akmal Mohd Saufi, 14, yang ada bersama mangsa pada kejadian yang berlaku pukul 3.30 petang itu sempat diselamatkan seorang lelaki, Norisam Karim, 40, yang melihat kejadian itu.

"Ketika kejadian, saya berada di daratan kira-kira 30 meter apabila melihat Norafiqah terkapai-kapai. Saya berenang dengan seorang lagi lelaki yang tidak dikenali, lalu membawanya ke tepi pantai," kata Norisam kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Norafiqah berkata pada mulanya mangsa cuba membantunya ketika dia lemas tetapi Norfarahani didapati hilang dihanyutkan ombak setelah terlepas daripada genggaman tangannya.

"Saya hanya sempat melihat dia tenggelam timbul dan meminta tolong tetapi selepas itu dia hilang dihanyutkan ombak," katanya dengan sedih.

Norafiqah berkata dia dan mangsa serta tiga rakan remaja lelaki datang untuk berkelah dan mereka pernah datang ke situ kira-kira dua tahun lepas.

Muhamad Nasrullah Norisham, 19, pula berkata dia dan dua lagi rakannya hampir lemas ketika mandi kira-kira 10 meter dari Norafiqah dan Norfarahani.   

"(Bagaimanapun) Kami (bertiga) bersyukur kerana terselamat apabila sempat berenang ke tepi walaupun dalam keadaan yang tidak bermaya," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Wan Baijuri Wan Hassan berkata 12 anggota bomba termasuk unit skuba dari Kota Baharu berkejar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.17 petang.

Katanya turut membantu gerakan mencari ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.


Beliau berkata gerakan mencari akan diteruskan sehingga malam ini di kawasan persisiran pantai tersebut. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan