Selasa, Januari 14, 2014

Jumlah Mangsa Banjir Di Jajahan Pasir Mas Meningkat

KOTA BARU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di jajahan Pasir Mas meningkat pagi Selasa kepada 2,593 orang berbanding 1,684 malam Isnin.
Menurut portal e-Banjir, mangsa banjir daripada 1,065 keluarga itu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara di sekitar Rantau Panjang.
Setakat 8 pagi ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 10.17 meter berbanding 10.31 meter malam Isnin, namun masih di atas paras bahaya 9 meter.
Jalan yang masih ditutup kepada kenderaan ringan ialah jalan alternatif Rantau Panjang ke Jeli di Panglima Bayu, Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung-Rantau Panjang di Km11, dan Km3 Jalan Pengkalan Rakit.
Cuaca dilaporkan cerah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan