Selasa, November 26, 2013

Pemilik senjata tiruan diberi tempoh sebulan untuk serahkan senjata


KUALA LUMPUR - Pemilik senjata tiruan tanpa lesen diberi tempoh sebulan bermula hari ini untuk menyerahkan senjata berkenaan, yang digunakan untuk aktiviti bersukan, kepada polis dan membuat permohonan lesen.
Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tempoh itu akan berakhir pada 25 Disember.
Beliau berkata, tempoh berkenaan diberikan berikutan peningkatan perolehan senjata dalam aktiviti sukan menembak seperti senjata Paintball Marker, Airsoft Gun dan BB Gun dan polis perlu mengawal penggunaannya kerana khuatir ia digunakan untuk tujuan jenayah.
Katanya, permohonan lesen berkenaan perlu dibuat kerana tiada individu dibenarkan memiliki senjata tiruan mahupun senjata api di negara ini kecuali pihak pasukan keselamatan dan mereka yang mempunyai lesen.
"Permohonan lesen itu adalah mengikut ketetapan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu senjata tiruan merujuk kepada apa-apa yang menyerupai senjata, sama ada atau tidak melepaskan sesuatu letusan, peluru, bedilan, cecair berbahaya, gas dan lain-lain benda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulkifli berkata, adalah menjadi kesalahan jika seseorang itu mengimport, memiliki dan menjaga senjata tiruan dan sekiranya disabitkan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Jika senjata tiruan itu digunakan untuk jenayah dan disabitkan, mereka akan dihukum mengikut Seksyen 6 Akta Senajatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan tiga kali sebatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan