Selasa, November 26, 2013

Hantar pasukan sukarelawan

Hantar pasukan sukarelawan

KOTA BHARU - Seramai 2,000 sukarelawan IM4U, terdiri daripada pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) bersedia membantu masyarakat dalam menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku di negeri ini pada bila-bila masa.

Pengarahnya, Noor Azahan Othman berkata, pelbagai persiapan dilakukan pihak terbabit, termasuk menyediakan jaket keselamatan, kasut but, payung dan vest.

“Tahun ini, kita akan hantar semua sukarelawan ke pusat pemindahan banjir berbanding tahun sebelumnya yang hanya menjalankan gotong-royong bagi membersihkan kediaman yang dilanda banjir.

“Jadi kita harap dengan segala kepakaran yang ada pada setiap pelajar ini, sekurang-kurangnya dapat membantu mangsa banjir daripada bersedih dan memberi dorongan semangat kepada golongan ini menghadapi situasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu sukarelawan IM4U di Dewan Sri Mawar PKB, Kok Lanas di sini, semalam.

Noor Azahan berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui program bersama sepanjang tahun bagi membantu membersihkan kawasan dilanda banjir.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang dan mendapat maklum balas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diarahkan untuk menghantar pasukan, kita sudah bersedia.

“Diharap dengan bantuan dan kelengkapan serta persediaan secara fizikal dan mental ini, secara tidak langsung juga menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukarelawan yang sebelum ini tidak diperoleh dalam bilik darjah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan