Isnin, Julai 18, 2011

Sistem keselamatan siber lemah

View Image

KUALA LUMPUR 16 Julai – Sistem keselamatan siber negara ketika ini disifatkan masih berada pada tahap yang lemah sekali gus meningkatkan risiko ancaman siber di kalangan pengguna Internet.

Pensyarah di Fakulti Sains dan Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Khairuddin Omar berkata, tahap kelemahan sistem keselamatan tersebut ialah sehingga memungkinkan penceroboh menembusi pangkalan data yang menyimpan maklumat peribadi pengguna Internet.



“Ini termasuk menceroboh pangkalan data pelanggan bank serta pemegang kad kredit. Meskipun bank ada sistem keselamatan siber sendiri, namun risikonya tetap ada.

“Ia menunjukkan bahawa pengguna Internet kita sebenarnya tidak selamat dan masih banyak kelemahan dalam sistem keselamatan siber negara yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada peningkatan insiden keselamatan siber yang meningkat sebanyak 147 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini seperti yang didedahkan oleh CyberSecurity Malaysia, semalam.

Sementara itu, Ahli Ekosistem Inovasi ICT, Majlis Profesor Negara, Prof Dr. Siti Mariyam Shamsuddin pula berkata, Malaysia perlu mempunyai bahasa komputer sendiri yang hanya difahami oleh pengguna Internet di negara ini bagi mengelakkan ia ditembusi oleh penceroboh asing.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah, ketika ini pengguna Internet di negara ini menggunakan kod-kod komputer dari luar negara yang turut difahami dan boleh dimanipulasi untuk tujuan tidak baik oleh pakar-pakar komputer dari seluruh dunia.

“Pada masa sama, pengguna Internet di negara ini juga perlu berhati-hati dan tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi mereka dalam dunia siber,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan