Jumaat, Jun 17, 2011

Serangan Siber Dijangka Berterusan Beberapa Hari Lagi, Kata Cybersecurity

View Image
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Serangan terhadap beberapa laman web berkaitan kerajaan dijangka berterusan beberapa hari lagi, kata ketua pegawai eksekutif Cybersecurity Malaysia Lt Kol (B) Husin Jazri.

Beliau berkata penyerang siber menyasarkan aplikasi web yang diketahui ramai terdedah kepada kaedah serangan, mempunyai kata laluan lemah dan menyalahtatarajah.

"Cybersecurity, melalui Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), mendapati wujud peningkatan ketara dalam kegiatan berkaitan keselamatan siber dalam tempoh 24 jam lepas.
"Berdasarkan pemerhatian kami, serangan yang dilakukan akan menjejaskan kerahsiaan, integriti maklumat dan kewujudan laman web. Ini seterusnya boleh menjejaskan kegiatan perniagaan sesebuah organisasi," katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, Cybersecurity menasihati semua pemilik sistem supaya sentiasa bersiap siaga dan mengambil langkah perlu untuk melindungi laman web masing-masing.

Awal pagi tadi, serangan dikenali sebagai 'Operation Malaysia' dilakukan oleh sebuah kumpulan antarabangsa menggunakan nama 'Anonymous' yang menjejaskan 51 laman web termasuk http://malaysia.gov.my dan http://sabahtourism.com.

Serangan siber juga dipercayai dilakukan kumpulan lain berikutan pengesanan modus operandi berbeza seperti yang digunakan oleh sebuah kumpulan tempatan yang menggelarkan dirinya sebagai Dragon Force, yang lebih gemar melumpuhkan laman sesuatu web dan menghiasi laman itu dengan imejnya.

Pengurus operasi BubTech Sdn Bhd Mazniezan Iqram Mat Zain berkata kumpulan Anonymous cuba mempamerkan kemarahannya terhadap tindakan Kerajaan Malaysia menyekat laman web perkongsian fail kerana ia melanggar Akta Hakcipta 1987.

"Kumpulan ini patut sedar bahawa kerajaan hanya menyekat akses ke laman web berkenaan, tetapi ia masih boleh dicapai melalui sumber terbuka penyedia proksi seperti OpenDNS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan