Ahad, Januari 09, 2011

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan pusat pemindahan di Kelantan bertambah pagi ini berbanding semalam manakala keadaan banjir di Pahang dan Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan. 


Di KELANTAN, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata setakat 8 pagi ini, empat lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlahnya 19 bagi menampung mangsa banjir yang meningkat kepada 1,571 orang daripada 438 keluarga berbanding 1,008 orang malam semalam.


Beliau berkata lima daerah yang terjejas banjir ialah Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

"Daerah yang paling teruk terjejas banjir ialah daerah Pasir Mas dengan sebanyak 12 pusat pemindahan dibuka diikuti Kota Bharu (tiga pusat), manakala Tumpat, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh masing-masing satu pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 



Jurucakap itu berkata lima laluan di Pasir Mas ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di KM3, Jalan Pengkalan Rakit, KM9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang, Jalan Pohon Tanjung-Meranti, KM3 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas, KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan KM9 Jalan Cabang Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti di Tumpat. 


Katanya paras air di Sungai Golok kini berada di tahap 10.28 meter melebihi paras bahaya 9 meter, manakala sungai-sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga. 


Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 188 orang daripada 47 keluarga pagi ini berbanding 244 orang daripada 59 keluarga semalam. 

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata semua mangsa dari daerah Kuantan itu ditempatkan di empat pusat pemindahan. 


Kawasan yang terlibat ialah Taman Sebarang Balok dan Kampung Balok melibatkan 104 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Balok, Kampung Bukit Palas, 33 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di Balai Raya Chenderawasih, Kampung Nyamuk, Balok, 33 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Pantai Balok, Kampung Chendor Tengah, 18 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Balai Raya Chendor, katanya. 


Di TERENGGANU, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata keseluruhan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan pada 9 pagi ini berkurangan kepada 580 orang berbanding 774 malam semalam.


Katanya keadaan banjir di daerah Hulu Terengganu yang mencatat paling ramai mangsa perpindahan kini hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 87 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 367 orang malam semalam. - BERNAMA 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan