Selasa, Disember 14, 2010

Belajar teknologi radio amatur


MASJID TANAH - Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar menjadi sekolah rendah pertama di Melaka yang memuatkan slot penggunaan radio amatur pada program Perkhemahan Tahunannya di sini baru-baru ini.
Menurut Guru Besarnya, Pouziah Ghani, idea aktiviti penggunaan radio amatur tercetus berikutan perkembangan pesat dan kepentingan radio amatur sebagai alat komunikasi alternatif yang berkesan diguna dalam pelbagai aktiviti khasnya perkhemahan.

"Sepanjang tempoh aktiviti, para peserta telah didedahkan dengan teori dan latihan praktikal penggunaan radio amatur dan turut diperkenalkan dengan sistem fonetik, tanda panggilan atau "call sign", perkakasan radio amatur dan etika penggunaan radio amatur," katanya.

Perkhemahan itu disertai 101 peserta Unit beruniform yang terdiri daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunas Kadet Remaja Sekolah, Pengakap dan Puteri Islam.

Sesi latihan radio amatur dikendalikan oleh jurulatih dari Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Rozairi Taib dan Rozi Md. Jahi.

Seorang peserta perkhemahan, Anis Atikah Asmaniza memberitahu, dia berasa sangat bertuah kerana berpeluang mempelajari fonetik dalam radio amatur.

"Kini baru saya sedar bahawa alat yang dikenali sebagai walkie-talkie memerlukan lesen yang sah untuk menggunakannya setelah lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Bila saya berumur 14 tahun nanti, saya mahu mengambil peperiksaan radio amatur ini," katanya penuh semangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan