Selasa, Disember 14, 2010

20 pelajar Malaysia berkomunikasi dengan angkasawan NASA


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Peluang berhubung dengan seorang angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), Douglas H. Wheelock yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas (ISS), tidak dilepaskan oleh 20 pelajar sekolah menengah di sini.

Walaupun terpaksa menunggu sehingga pukul 2 pagi sebelum berkesempatan berkomunikasi dengan angkasawan NASA itu, ia tidak menghalang perasaan teruja pelajar terlibat.

Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad berkata, aktiviti yang diadakan setahun sekali itu mengumpulkan sekumpulan pelajar sekolah yang akan diberi masa untuk bertanyakan sebarang soalan kepada angkasawan yang berada di ISS dengan menggunakan radio amatur.

"Kali ini seramai 20 pelajar telah diberi peluang untuk bertanyakan sebarang soalan kepada angkasawan terlibat dalam tempoh sembilan minit," katanya ketika ditemui pada sesi komunikasi antara angkasawan NASA dan 20 pelajar sekolah di Planetarium Negara di sini awal pagi ini.

Menurut beliau, program seumpama itu bertujuan memberi pendedahan dan minat kepada pelajar untuk menerokai bidang ilmu angkasa.

"Program sebegini merupakan antara usaha Planetarium Negara menarik minat golongan pelajar untuk meminati sains dan teknologi angkasa," jelasnya.

Selain berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan angkasawan NASA, pada sesi tersebut juga setiap pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti berkenaan sistem cakerawala dan ceramah oleh Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Sementara itu salah seorang pelajar terlibat, Fairuz Nadia Rohani, 17, menyifatkan peluang sekali seumur hidup itu sangat berharga dan berterima kasih dengan kesempatan yang diberikan oleh Planetarium Negara.

"Saya sangat teruja dengan peluang yang diberikan dan pengalaman tersebut akan saya gunakan untuk memajukan diri sendiri," katanya.

Sementara itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang, Mohd. Farizuan Mohd. Fuad, 16, berharap program seumpama itu akan diteruskan demi melahirkan lebih ramai saintis tempatan dalam bidang angkasa.

"Ketika ini tidak ramai pelajar Melayu yang meminati bidang aeroangkasa dan diharapkan program sebegini dapat memupuk minat mereka," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan