Ahad, Februari 20, 2011

Tanpa Veteran, Tiada Pemimpin Hari Ini

“Tanpa saudara-saudari semua, saya pastinya tidak mungkin berada di depan ini,” demikian luah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sebagai merujuk kepada veteran UMNO yang hadir di majlis Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasamu Dikenang, di Dewan tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahya Hashim.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, menyanjungi peranan besar golongan emas yang sanggup berkorban apa sahaja dengan semangat yang kental termasuk berjuang menentang Malayan Union suatu masa dahulu.

Katanya, veteran UMNO merupakan pendukung dan watak utama yang bertindak mempertahankan UMNO dulu, kini dan selamanya serta sebagai pejuang UMNO yang tulen pastinya mereka tidak akan menjadi pengkhianat kepada bangsa dan parti sehingga penghujung perjuangan.


Beliau juga meminta supaya veteran UMNO tidak mudah berasa hati apabila kadangkala usaha dan jasa mereka dipandang sepi oleh pemimpin dan ahli UMNO masa kini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata dalam perjuangan sebagai orang politik, semua pihak haruslah sentiasa tabah dan cekal merentangi apa sahaja masalah termasuk mengelak diri daripada berkecil hati, membawa hati, makan hati serta tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan rasa hati terhadap orang lain, selain harus sentiasa berhati-hati.

Menteri Besar, berkata orang yang baik dan ikhlas berjuang akan mendapat balasan yang baik daripada Allah SWT, bagaimanapun jika sebaliknya berlaku mereka haruslah redha dan tidak menyalahkan takdir selain tetap meneruskan perjuangan.

Beliau juga menyifatkan `tiada dulu, tiada sekarang’ kerana ahli UMNO veteran merupakan golongan pejuang yang bertanggungjawab mewujudkan cawangan UMNO di setiap kampung dan membentuk kekuatan UMNO satu masa dulu.

“Jadi kita mengharapkan generasi UMNO sekarang sama-sama berganding bahu dengan veteran dan tidak boleh meupakan hasil perjuangan mereka selama ini. Kita tidak boleh ketepikan mereka.

“Kita parti yang mengharapkn undi dan setiap orang memiliki kuasa yang besar dalam menentukan menang dan kalah sesuatu parti pada setiap pilihan raya. Jadi, ahli UMNO ini kita perlu dekati, jumpa kembali dan ambil cakna supaya mereka ini lebih bersemangat serta tidak terpinggir dan terkilan,” katanya.

Malah, golongan ini juga memiliki anak dan cucu serta keluarga yang pastinya mereka mahu turut sama meneruskan kesinambungan mendukung perjuangan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan