Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Selasa, Disember 14, 2010

20 pelajar Malaysia berkomunikasi dengan angkasawan NASA


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Peluang berhubung dengan seorang angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), Douglas H. Wheelock yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas (ISS), tidak dilepaskan oleh 20 pelajar sekolah menengah di sini.

Walaupun terpaksa menunggu sehingga pukul 2 pagi sebelum berkesempatan berkomunikasi dengan angkasawan NASA itu, ia tidak menghalang perasaan teruja pelajar terlibat.

Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad berkata, aktiviti yang diadakan setahun sekali itu mengumpulkan sekumpulan pelajar sekolah yang akan diberi masa untuk bertanyakan sebarang soalan kepada angkasawan yang berada di ISS dengan menggunakan radio amatur.

"Kali ini seramai 20 pelajar telah diberi peluang untuk bertanyakan sebarang soalan kepada angkasawan terlibat dalam tempoh sembilan minit," katanya ketika ditemui pada sesi komunikasi antara angkasawan NASA dan 20 pelajar sekolah di Planetarium Negara di sini awal pagi ini.

Menurut beliau, program seumpama itu bertujuan memberi pendedahan dan minat kepada pelajar untuk menerokai bidang ilmu angkasa.

"Program sebegini merupakan antara usaha Planetarium Negara menarik minat golongan pelajar untuk meminati sains dan teknologi angkasa," jelasnya.

Selain berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan angkasawan NASA, pada sesi tersebut juga setiap pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti berkenaan sistem cakerawala dan ceramah oleh Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Sementara itu salah seorang pelajar terlibat, Fairuz Nadia Rohani, 17, menyifatkan peluang sekali seumur hidup itu sangat berharga dan berterima kasih dengan kesempatan yang diberikan oleh Planetarium Negara.

"Saya sangat teruja dengan peluang yang diberikan dan pengalaman tersebut akan saya gunakan untuk memajukan diri sendiri," katanya.

Sementara itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang, Mohd. Farizuan Mohd. Fuad, 16, berharap program seumpama itu akan diteruskan demi melahirkan lebih ramai saintis tempatan dalam bidang angkasa.

"Ketika ini tidak ramai pelajar Melayu yang meminati bidang aeroangkasa dan diharapkan program sebegini dapat memupuk minat mereka," katanya

Belajar teknologi radio amatur


MASJID TANAH - Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar menjadi sekolah rendah pertama di Melaka yang memuatkan slot penggunaan radio amatur pada program Perkhemahan Tahunannya di sini baru-baru ini.
Menurut Guru Besarnya, Pouziah Ghani, idea aktiviti penggunaan radio amatur tercetus berikutan perkembangan pesat dan kepentingan radio amatur sebagai alat komunikasi alternatif yang berkesan diguna dalam pelbagai aktiviti khasnya perkhemahan.

"Sepanjang tempoh aktiviti, para peserta telah didedahkan dengan teori dan latihan praktikal penggunaan radio amatur dan turut diperkenalkan dengan sistem fonetik, tanda panggilan atau "call sign", perkakasan radio amatur dan etika penggunaan radio amatur," katanya.

Perkhemahan itu disertai 101 peserta Unit beruniform yang terdiri daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunas Kadet Remaja Sekolah, Pengakap dan Puteri Islam.

Sesi latihan radio amatur dikendalikan oleh jurulatih dari Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Rozairi Taib dan Rozi Md. Jahi.

Seorang peserta perkhemahan, Anis Atikah Asmaniza memberitahu, dia berasa sangat bertuah kerana berpeluang mempelajari fonetik dalam radio amatur.

"Kini baru saya sedar bahawa alat yang dikenali sebagai walkie-talkie memerlukan lesen yang sah untuk menggunakannya setelah lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Bila saya berumur 14 tahun nanti, saya mahu mengambil peperiksaan radio amatur ini," katanya penuh semangat.

Penggunaan Radio Amatur Diperluaskan

Sabtu, November 20, 2010

Kek Coklat Inti Bangkai Tikus

Logo
19 Nov 2010
KAMPUNG PACHAKAN - Pasangan guru agama dekat Kuala Besut fobia untuk menjamu kek coklat selepas termakan kek yang didakwanya me-ngandungi bangkai seekor tikus. 


Guru al-Quran lelaki yang enggan mendedahkan identitinya berkata, isterinya yang juga seorang guru agama di sebuah sekolah di Tanah Merah, Kelantan membeli kek coklat berkenaan daripada peniaga yang menjualnya di sekolah pada 8 November lalu. 

Khamis, November 18, 2010

400 anggota pengakap didedahkan penggunaan radio amatur

ARKIB : 22/10/2010



MUAR 21 Okt. – Lebih 400 ahli pengakap dari daerah ini dan kawasan sekitar menjayakan program Jamboree On The Air (JOTA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Maharani di sini baru-baru ini, bertujuan memberi pendedahan mengenai pengendalian radio amatur.

Program perkhemahan selama dua hari bermula 16 Oktober lalu itu menghimpunkan peserta dengan matlamat mengeratkan hubungan pengakap melalui komunikasi rangkaian penggunaan radio amatur.  Lebih membanggakan, program tersebut menarik penyertaan anggota pengakap dari usia 10 tahun dan ia turut membabitkan juga golongan ibu bapa.  Penolong Pesuruhjaya Pengakap negeri, Den Atan berkata, beliau berbangga melihat pengakap memberanikan diri untuk belajar menggunakan peralatan radio dan elektronik dalam berkomunikasi dengan pengguna radio dari luar negara.

“JOTA ini adalah perhimpunan anggota pengakap dari seluruh dunia di udara yang menghubungkan pengakap menerusi teknologi komunikasi radio amatur.   “Uniknya program ini, peserta tidak perlu ke luar negara untuk menyertai jamboree, sebaliknya, keseluruhan aktiviti dapat dijalankan di sesuatu kawasan dengan bimbingan Station Master yang bertauliah sebagai pengendali pemancaran radio amatur,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.   Menurutnya, penggunaan radio amatur dalam bidang komunikasi adalah amat luas kerana dapat menghubungkan seseorang sama ada di kawasan atau ke seluruh dunia dengan menggunakan set radio amatur yang tertentu pada frekuensi tertentu.   Katanya, program tersebut merupakan anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Muar serta Krew Radio Amatur Pengakap Johor (Josrac).   “Tahun ini adalah tahun ke-53 bagi penganjuran JOTA yang turut diadakan serentak adalah Jamboree On The Internet (JOTI) ke-14.

“Menerusi program ini, kita dapat memperkenalkan kepada pengakap yang komunikasi radio amatur ini adalah hobi berguna dalam menjana kreativiti dan pembangunan diri peminat radio,” katanya.

Rabu, November 17, 2010

Pautan akhbar Utusan Malaysia 3

ARKIB : 12/06/2008

Pelik tapi boleh tambah kenalan


KOTA BHARU 11 Jun - Mungkin ramai yang akan memandang pelik kepada kenderaan yang mempunyai antena tinggi dan lelaki membawa radio kecil berjalan di tempat awam.  Ramai juga yang mungkin tertanya-tanya apakah kegunaan kesemua peralatan tersebut, malah ada di antaranya beranggapan peralatan tersebut mahal dan hanya digunakan oleh golongan tertentu sahaja.

Seorang ahli Kelab Radio Amatur Kota Bharu (ARKB), Yoong Guan Chiang, 55, berkata, kesemua perkara tersebut merupakan persepsi pertama orang ramai yang melihat peralatan radio.  Beliau berkata, ramai yang tidak memahami tentang radio amatur dan mereka seolah-olah takut untuk menggunakannya.  "Ketika mula-mula dulu saya pun mempunyai persepsi yang sama tetapi selepas beberapa kali dijelaskan oleh rakan-rakan, saya mula memahami kegunaan radio amatur malah ia merupakan satu alat komunikasi unik.  "Sejak terlibat dalam hobi ini pada tahun lepas saya mempunyai ramai rakan di seluruh negara, ia disebabkan saya boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja tanpa sebarang kos," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Guan Chiang yang bekerja sebagai guru berkata, pelaburan awalnya untuk membeli peralatan radio amat berbaloi dengan faedah yang diperoleh.  Beliau yang dikenali dengan 'call sign' 9W2YGC berkata, kos permulaan untuk membeli sebuah radio adalah di sekitar RM400.  "Sebelum ini beberapa rakan mengajak saya untuk menyertai kelab ini tetapi saya menolak kerana bimbang kos yang tinggi, setelah diajak berkali-kali saya mencuba dan mendapati ia amat menyeronokkan.  "Sebagai contoh, pada bulan lepas saya pergi ke Segamat, Johor, di pertengahan jalan saya tersesat dan malangnya di kawasan berkenaan tidak mempunyai talian telefon bimbit. Oleh itu saya cuba menggunakan radio untuk mendapatkan bantuan rakan bagi mencari jalan.  "Syukur dengan sekali sahaja panggilan saya mendapat maklum balas oleh pengguna radio di kawasan itu dan mereka memberikan tunjuk arah sehingga saya sampai ke destinasi yang dituju," katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Mohd. Iskandar Hassan, 39, menyifatkan radio amatur merupakan satu hobi yang banyak membantu terutama ketika berlaku bencana.  Katanya, melalui radio amatur komunikasi boleh dilakukan tanpa batasan dan sebarang kos termasuk berhubung dengan angkasawan ketika mengelilingi bumi.  "Semua orang boleh terlibat dalam hobi ini malah ada juga menteri yang turut menggunakan radio amatur.  "Selain menambah kenalan, kita juga boleh mengembangkan idea dengan membuat penyelidikan dalam pembuatan radio, pancaran, penerimaan dan antena sendiri," katanya.  Tambahnya, kesedaran tentang radio amatur di negara ini amat rendah berbanding negara-negara lain kerana ramai yang tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya.

Pautan akhbar Utusan Malaysia 2

ARKIB : 19/08/2008

Kelab radio eksklusif KPFM permudah hubungan ahli


MUAR 18 Ogos - Sebuah kelab radio eksklusif, Kelab Pemancar FM (KPFM) Segamat di sini mencatat sejarah apabila berjaya membuka alat pengulang atau 'repeater' untuk kemudahan 100 ahlinya berhubung antara satu sama lain di Felda Medoi, Segamat baru-baru ini.

Kewujudan alat pengulang yang pertama diwujudkan di kawasan tanah rancangan itu membolehkan ahli- ahli KPFM yang berada di sekitar Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang serta sempadan Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang berhubung sesama mereka melalui frekuensi 143.700.  Pengerusi KPFM Segamat, Bonasir Rakijan, 43, berkata, sejak ditubuhkan pada 14 April lalu, kewujudan alat pengulang di Felda Medoi baru-baru ini merupakan satu kejayaan bagi kelab itu.  "Kami berbangga kerana alat pengulang yang membolehkan frekuensi itu dipasang di sebuah tanah rancangan dan KPFM kini di peringkat perbincangan untuk memperkenalkan alat pengulang yang sama di beberapa tanah rancangan lain untuk kemudahan ahli tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan 100 ahli KPFM, di sini baru-baru ini.

Kelab radio eksklusif berbeza daripada kelab-kelab radio amatur kerana ia merupakan frekuensi berbayar yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).  Menurut Bonasir, kelab itu ditubuhkan untuk kemudahan penggemar alat perhubungan radio yang tidak mempunyai lesen radio amatur.  Yuran yang dikenakan untuk menjadi ahli kelab radio eksklusif berkenaan adalah RM50 untuk pendaftaran dan RM100 sebagai yuran tahunan.  Pihaknya memilih Felda Medoi kerana kawasan itu merupakan lokasi yang tertinggi untuk membolehkan frekuensi radio kelab itu diterima di daerah Segamat.

"Kelebihan menyertai kelab radio eksklusif ini adalah ahli boleh berhubung antara satu sama lain khususnya di kawasan yang tidak dapat menerima liputan telekomunikasi seperti telefon tetap dan telefon bimbit.  "Sebagai contoh, ketika banjir melanda Johor penghujung 2006, penggunaan komunikasi melalui radio ini amat penting untuk memaklumkan situasi kawasan yang dilanda banjir," katanya.  Malah, ahli-ahli KPFM juga boleh berhubung sesama mereka dalam mengadakan kawalan keselamatan kampung kerana kebanyakan ahlinya adalah anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Mereka yang berminat untuk menjadi ahli KPFM boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Bonasir di 019-7040072 atau Halimi Jawahir untuk daerah Muar dan Batu Pahat di 016- 6634080.

Pautan akhbar Utusan Malaysia

ARKIB : 22/03/2009

SRS: Guna radio amatur diperluas

KOTA BHARU 21 Mac - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan memperluaskan penggunaan radio amatur dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) ke seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Amin Hassan berkata, ia berikutan keberkesanan peralatan tersebut dalam usaha membantu polis membanteras jenayah.  Beliau difahamkan, dengan adanya radio amatur ini, banyak kes jenayah yang berlaku di kampung berjaya diselesaikan dengan kerjasama polis.

"Melalui peralatan SRS, anggota SRS lebih mudah berhubung antara satu sama lain apabila mereka mendapat maklumat berhubung kejadian jenayah yang berlaku," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Ramah Mesra bersama ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sempena Mesyuarat Pengarah-pengarah JPNIN Seluruh Malaysia di sini semalam.