Kerajaan kerugian kira-kira RM2 bilion sejak Januari hingga September tahun ini, selepas gagal mengutip cukai berkaitan bahan tembakau berikutan aktiviti penyeludupan rokok melalui sempadan negara.
Ketua Pengarah Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Datuk Abdul Rahim Ismail berkata jumlah itu hasil kajian yang dilakukan sebuah syarikat pengeluar rokok British American Tobacco (BAT) pada tahun ini.
"Permintaan terhadap rokok seludup semakin meningkat berikutan kenaikan harga rokok sebanyak 14 peratus baru-baru ini memandangkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu membeli rokok yang telah dicukaikan.
"Rokok seludup mendapat permintaan tinggi oleh golongan berkenaan kerana harga yang murah dan boleh didapati serendah RM2.50 sekotak yang mengandungi 20 batang rokok," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Aidiladha di Pondok Haji Ismail Baginda, Kampung Jenerih, Jalan Meranti di sini Khamis.