Selasa, November 26, 2013

Pemilik senjata tiruan diberi tempoh sebulan untuk serahkan senjata


KUALA LUMPUR - Pemilik senjata tiruan tanpa lesen diberi tempoh sebulan bermula hari ini untuk menyerahkan senjata berkenaan, yang digunakan untuk aktiviti bersukan, kepada polis dan membuat permohonan lesen.
Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tempoh itu akan berakhir pada 25 Disember.
Beliau berkata, tempoh berkenaan diberikan berikutan peningkatan perolehan senjata dalam aktiviti sukan menembak seperti senjata Paintball Marker, Airsoft Gun dan BB Gun dan polis perlu mengawal penggunaannya kerana khuatir ia digunakan untuk tujuan jenayah.
Katanya, permohonan lesen berkenaan perlu dibuat kerana tiada individu dibenarkan memiliki senjata tiruan mahupun senjata api di negara ini kecuali pihak pasukan keselamatan dan mereka yang mempunyai lesen.
"Permohonan lesen itu adalah mengikut ketetapan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu senjata tiruan merujuk kepada apa-apa yang menyerupai senjata, sama ada atau tidak melepaskan sesuatu letusan, peluru, bedilan, cecair berbahaya, gas dan lain-lain benda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulkifli berkata, adalah menjadi kesalahan jika seseorang itu mengimport, memiliki dan menjaga senjata tiruan dan sekiranya disabitkan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Jika senjata tiruan itu digunakan untuk jenayah dan disabitkan, mereka akan dihukum mengikut Seksyen 6 Akta Senajatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan tiga kali sebatan. - Bernama

Hantar pasukan sukarelawan

Hantar pasukan sukarelawan

KOTA BHARU - Seramai 2,000 sukarelawan IM4U, terdiri daripada pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) bersedia membantu masyarakat dalam menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku di negeri ini pada bila-bila masa.

Pengarahnya, Noor Azahan Othman berkata, pelbagai persiapan dilakukan pihak terbabit, termasuk menyediakan jaket keselamatan, kasut but, payung dan vest.

“Tahun ini, kita akan hantar semua sukarelawan ke pusat pemindahan banjir berbanding tahun sebelumnya yang hanya menjalankan gotong-royong bagi membersihkan kediaman yang dilanda banjir.

“Jadi kita harap dengan segala kepakaran yang ada pada setiap pelajar ini, sekurang-kurangnya dapat membantu mangsa banjir daripada bersedih dan memberi dorongan semangat kepada golongan ini menghadapi situasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu sukarelawan IM4U di Dewan Sri Mawar PKB, Kok Lanas di sini, semalam.

Noor Azahan berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui program bersama sepanjang tahun bagi membantu membersihkan kawasan dilanda banjir.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang dan mendapat maklum balas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diarahkan untuk menghantar pasukan, kita sudah bersedia.

“Diharap dengan bantuan dan kelengkapan serta persediaan secara fizikal dan mental ini, secara tidak langsung juga menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukarelawan yang sebelum ini tidak diperoleh dalam bilik darjah,” katanya.

Isnin, November 25, 2013

JBPM Kelantan bersedia hadapi banjir

JBPM Kelantan bersedia hadapi banjir
TUMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Kelantan sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi tugas menyelamatkan mangsa banjir sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Pengarah JPBM Kelantan, Azmi Osman menegaskan, keutamaan semua pegawai dan anggota bomba pada musim banjir adalah penekanan kekuatan mental sebagai langkah persediaan jika banjir berlaku dalam tempoh masa panjang.

Menurutnya, beberapa siri kursus dan kaunseling diadakan untuk memberi keyakinan kepada semua pegawai serta anggota bomba.

"Sekiranya banjir berlaku untuk tempoh masa yang lama, anggota perlu ketahanan kuat untuk berdepan dengan sebarang insiden.

"Anggota bomba sudah bersiap sedia secara keseluruhannya, sama ada dari segi mental, fizikal, peralatan dan kemahiran dalam menangani fenomena banjir," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JPBM Negeri Kelantan di Balai Bomba Tumpat, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sokongan lain dari segi peralatan berada dalam keadaan baik apabila sebanyak 58 bot dan kenderaan utiliti bersiap sedia menjalankan operasi menyelamat.

Katanya, unit rondaan di setiap daerah digerakkan berkuat kuasa kelmarin dan akan membuat rondaan secara berkala supaya jabatan itu dapat bertindak dengan pantas.


"Pasukan itu akan meronda sungai dan kawasan sering dinaiki air secara berkala. Mereka guna utiliti dan motosikal ke kawasan terbabit. Di samping itu kita beri khidmat nasihat kepada penduduk agar mereka sentiasa peka dengan berita semasa berhubung banjir," katanya.