PASIR PUTEH - Seorang remaja perempuan hilang dan dikhuatiri lemas
manakala empat rakannya yang hampir lemas terselamat, ketika mandi dan berkelah
di pantai Air Tawar, Kuala Tok Bali di sini hari ini.
Norfarahani Yusof, 19, hilang dihanyut ombak manakala sepupunya
Norafiqah Akmal Mohd Saufi, 14, yang ada bersama mangsa pada kejadian yang
berlaku pukul 3.30 petang itu sempat diselamatkan seorang lelaki, Norisam
Karim, 40, yang melihat kejadian itu.
"Ketika kejadian, saya berada di daratan kira-kira 30 meter apabila
melihat Norafiqah terkapai-kapai. Saya berenang dengan seorang lagi lelaki yang
tidak dikenali, lalu membawanya ke tepi pantai," kata Norisam kepada
pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Norafiqah berkata pada mulanya mangsa cuba membantunya ketika dia lemas
tetapi Norfarahani didapati hilang dihanyutkan ombak setelah terlepas daripada
genggaman tangannya.
"Saya hanya sempat melihat dia tenggelam timbul dan meminta tolong
tetapi selepas itu dia hilang dihanyutkan ombak," katanya dengan sedih.
Norafiqah berkata dia dan mangsa serta tiga rakan remaja lelaki datang
untuk berkelah dan mereka pernah datang ke situ kira-kira dua tahun lepas.
Muhamad Nasrullah Norisham, 19, pula berkata dia dan dua lagi rakannya
hampir lemas ketika mandi kira-kira 10 meter dari Norafiqah dan
Norfarahani.
"(Bagaimanapun) Kami (bertiga) bersyukur kerana terselamat apabila
sempat berenang ke tepi walaupun dalam keadaan yang tidak bermaya,"
katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Wan Baijuri Wan Hassan
berkata 12 anggota bomba termasuk unit skuba dari Kota Baharu berkejar ke
tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.17 petang.
Katanya turut membantu gerakan mencari ialah Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia, polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Beliau berkata gerakan mencari akan diteruskan sehingga malam ini di
kawasan persisiran pantai tersebut. - Bernama