Isnin, Oktober 07, 2013

Dua lelaki didakwa jual kelengkapan komunikasi

Gambar hiasan
BUTTERWORTH - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
Kedua-dua tertuduh, Choo Khang Wei, 30, dan Lim Su Jin, 40, yang hadir ke mahkamah dengan ditemani rakan mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama didakwa memiliki kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dengan tujuan untuk menjualnya.
Kelengkapan tersebut berupa 13 unit dekoder jenama Dreambox DM800 HD PVR, tiga unit dekoder jenama Samart DSTV, seunit dekoder jenama True Vision bersama sekeping kad pintar True Vision bernombor 000125859444, seunit dekoder jenama True Vision Homax IR-H100S, seunit dekoder jenama XSAT CDTV 410 dan seunit dekoder jenama Dream Multimedia DM500-S DV3.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 18 Oktober tahun lalu kira-kira pukul 4.30 petang di alamat No. 93, Jalan Indah, Taman Seri Bukti Indah, Bukit Mertajam dekat sini. - KOSMO!