KEBANYAKAN media sosial dan blogger kini sibuk memperkatakan fenomena
pelik yang berlaku di seluruh dunia dan didakwa sebagai tanda awal kiamat.
Negara beriklim tropika dan panas mula menerima kesan akibat perubahan
cuaca mendadak pada tahun ini dan sebahagian kawasan seperti Mesir serta
Vietnam turut dilitupi salji tebal.
Perubahan magnet pada kerak bumi menyebabkan Kutub Utara bergerak dengan
lebih cepat ke arah Siberia untuk berada pada kedudukan 40 darjah.
Beberapa kajian mendapati pergerakan itu berlaku semakin laju iaitu pada
jarak 42 km sebulan dan dianggarkan berganjak sebanyak 2 km sehari pada 2013.
Ia merentasi garisan Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah
di selatan.
Jika keadaan itu berlaku, seluruh permukaan bumi berkemungkinan akan
berubah seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen berjudul '2012'.
Paling memeranjatkan, kawasan
Amerika Selatan terutamanya Brazil didakwa akan menjadi Kutub Utara manakala
India menjadi Kutub Selatan.
Bagaimana dengan nasib Malaysia? Ia dikatakan akan membeku dan berada
sebaris dengan India, sekali gus meletakkan garisan Khatulistiwa berada di
Antartika.
Bandar pesisir pantai bakal tenggelam dan Australia Barat dipercayai
turut mengalami nasib sama serta setengah negara mengalami waktu siang atau
malam lebih panjang.
Fenomena medan kutub bumi menyongsang dikhuatiri mengakibatkan bencana
alam lebih dahsyat seperti taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Selain itu, ia juga akan memberi kesan besar kepada ekosistem dan
migrasi haiwan yang selama ini bergantung kepada perubahan musim dan iklim di
sesuatu kawasan.
Medan magnet bumi juga akan menjadi lemah dan terdedah kepada fenomena
ribut suria serta sinaran kosmik iaitu partikel bertenaga tinggi dan gelombang
elektromagnet dari angkasa lepas.
Pergerakan kutub memang sedang berlaku dan ia boleh dilihat menerusi
kejadian bencana alam yang didakwa berpunca daripada pemanasan global dan
perubahan iklim secara mendadak sejak akhir-akhir ini.
Pelbagai teori didedahkan menyebabkan saintis menganggarkan medan magnet
akan menyongsang dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pergerakan kutub yang
semakin laju.
Adakah keadaan itu akan berlaku atau ia hanya sebuah lagi spekulasi
seperti ramalan kiamat 2012 yang digembar-gemburkan pada tahun lalu?
Kiamat menurut Islam
Beberapa hadis dan ayat al-Quran ada menjelaskan persoalan mengenai hari
kiamat:
Ibnu Umar RA berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, lima kunci
perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan ALLAH iaitu:
1) Tiada mengetahui apa
tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH.
2) Tiada siapa mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan ALLAH.
3) Tiada seorang pun
mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH.
4) Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan
ALLAH.
5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH. (Hadis Riwayat Bukhari)
Adakah fenomena pelik melibatkan perubahan ekstrem cuaca dunia dan
bencana alam dahsyat adalah satu peringatan atau petanda kepada manusia di
akhir zaman?
Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, ‘Tidak akan tiba hari kiamat
sehingga ilmu pengetahuan (agama) dilenyapkan, banyak gempa bumi, masa saling
berdekatan (semakin singkat), banyak timbul fitnah, banyak huru-hara iaitu
pembunuhan, hingga harta benda melimpah ruah di antara kamu.'
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hari kiamat merupakan
Rukun Iman ke- 5 akan tiba seperti diterangkan dalam al-Quran.
ALLAH SWT berfirman :
Mereka menanyakan kepadamu tentang
kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang
kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan
waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi
makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu
melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu
benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari
kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Al-A’raf, Ayat 187)
Dan juga pada ayat:
Manusia bertanya kepadamu tentang
hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit
itu hanya di sisi ALLAH.” Dan tahukah kamu (Muhammad), boleh jadi hari
berbangkit itu sudah dekat waktunya. (Surah Al-Ahzab, Ayat 63)