Memaparkan catatan dengan label Jabatan Meteorologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jabatan Meteorologi. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 24, 2014

Suhu di Pantai Timur catat rekod terendah



KUALA TERENGGANU: Suhu di sekitar Besut turun kepada 19 darjah Celsius pagi semalam, iaitu rekod suhu terendah pernah dicatatkan di daerah itu. 

Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan/Terengganu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jenuwa Husin, berkata Kuala Krai di Kelantan turut merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celsius semalam, sekali gus mencatatkan rekod pertama di Pantai Timur.


"Penurunan suhu itu disifatkan satu rekod, berbanding suhu biasa yang dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius di dua kawasan itu," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi. 


Katanya, keadaan itu berpunca daripada luruan udara sejuk dari tanah besar China (kawasan bertekanan tinggi) bergerak ke Laut China Selatan yang biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut.

Khamis, Januari 16, 2014

Angin Kencang, Laut Bergelora Berterusan Sehingga Isnin


KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori ketiga yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, kawasan pedalaman Pantai Barat dan Kudat di Sabah, Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia Khamis, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk perkhidmatan feri.

"Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," menurut kenyataan itu.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang melanda perairan Sandakan di Sabah juga akan berterusan sehingga Isnin depan dengan keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 hingga 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5m.

Keadaan ini juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.


Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama juga akan berterusan sehingga Isnin di kawasan perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu di Sabah dengan kelajuan angin 40 dan 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian 3.5m.

Sabtu, Januari 04, 2014

Angin kencang, laut bergelora berterusan sehingga Isnin

KUALA LUMPUR - Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, Koh Samui di Thailand, Tioman dan Bunguran di Indonesia, dijangka berterusan sehingga Isnin depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, angin kencang Timur Laut berkelajuan dari 40 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu berbahaya kepada bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Selain itu, angin kencang yang bertiup dari 50km/j serta ombak setinggi 4.5 meter yang melanda kawasan perairan Condore & Reef North dijangka berterusan sehingga Jumaat depan.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Perak, Pahang, Miri, Wilayah Persekutuan Labuan dan pantai barat Sabah dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Khamis, Januari 02, 2014

Amaran laut bergelora di pantai timur

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan angin dengan kelajuan 60 km sejam dan ombak melebihi 5.5 meter itu boleh menyebabkan kenaikan paras air laut, serta berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pelantar minyak. Kenyataan itu juga menyebut keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Sabah meliputi kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat serta Labuan dan Sarawak. 
Keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 dan 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5 meter itu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini, kata kenyataan tersebut.

Keadaan ini juga berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan. - Bernama

Isnin, Disember 30, 2013

Amaran ribut petir di beberapa perairan negara

Jabatan Meteorologi Malaysia

KUALA LUMPUR - Ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Labuan dan Pantai Barat Sabah dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Ribut petir juga berlaku di kawasan perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor barat, yang menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter, dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Keadaan ini juga berlaku di kawasan perairan Reef North, Bunguran, Layang-Layang dan Palawan yang menyebabkan angin kencang melebihi 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 5.5 meter, yang juga dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak serta perkhidmatan feri. – Bernama


 

Rabu, Disember 25, 2013

Amaran gelombang kedua banjir di Pahang

KUANTAN: Jabatan Meteorologi Pahang hari ini memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Dis.
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud, taburan hujan lebat diramalkan berlaku bermula 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan terutama di tiga daerah - Kuantan, Pekan dan Rompin. 
"Dalam tempoh yang sama juga air pasang turut akan berlaku, manakala kelajuan angin diramalkan 50 hingga 60 kilometer sejam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat persiapan banjir untuk gelombang kedua di sini, hari ini. 

Turut hadir dalam sesi taklimat banjir itu ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Azemi berkata, mengikut ramalan awal, taburan hujan lebat berlaku dalam empat peringkat iaitu pertama pada 2 Dis hingga 6 Dis lepas, yang mengakibatkan banjir buruk di Pahang.

"Sesi kedua diramalkan berlaku pada 18 Dis hingga 22 Dis lepas, bagaimanapun ia tidak berlaku. 

"Jadi, peringkat kedua itu diramalkan berlaku pada 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan, dan akan disusuli dengan dua lagi peringkat yang dijangka berlaku sebelum awal Mac," katanya. 

Banjir buruk di Pahang baru-baru ini mengakibatkan lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir. 

Sebanyak sembilan daerah terbabit banjir iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut, Temerloh, Raub, Bera, Lipis dan Maran. 

Berdasarkan laporan sebelum ini, lebih RM65 juta kerugian harta benda akibat banjir itu, dan turut mengorbankan tiga nyawa akibat lemas. - Bernama

Rabu, Disember 11, 2013

Amaran Hujan Lebat (Peringkat Jingga)

Dikeluarkan pada: 09:30pm pada 10 Disember 2013
SEKSYEN A: AMARAN HUJAN LEBAT (PERINGKAT JINGGA)
Dikeluarkan pada : 12:17 pm pada 10 Disember 2013
Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang berlaku di negeri Kelantan (Daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Putih, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai) dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Rabu, 11 Disember 2013.
Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

SEKSYEN B : NASIHAT HUJAN LEBAT (PERINGKAT KUNING)
Dikeluarkan pada : 12:17 pm pada 10 Disember 2013
Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di negeri Pahang (Daerah Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin) mulai Rabu, 11 Disember 2013 sehingga Khamis, 12 Disember 2013.
Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

SEKSYEN C : AMARAN RIBUT PETIR DAN HUJAN LEBAT
Dikemaskini pada : 9:30 pm pada 10 Disember 2013
Ribut petir dan hujan lebat di negeri N. Sembilan (Daerah Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson) dan Melaka (Daerah Alor Gajah) dijangka berterusan sehingga lewat malam, Selasa 10 Disember 2013.
Keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di negeri Selangor (Daerah Gombak dan Hulu Langat), N. Sembilan (Daerah Rembau) dan Melaka (Daerah Melaka Tengah dan Jasin).
Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan angin kencang.

Khamis, Disember 05, 2013

Negeri-negeri dilanda banjir diramal terus dicurah hujan


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Cuaca di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor esok diramal mendung pada sebelah pagi manakala beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.

Menurut Jabatan Meteorologi, beberapa tempat di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami hujan pada sebelah petang dan ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pada sebelah malam, beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan manakala Johor, Putrajaya serta sekitar ibu negara mendung sementara tempat-tempat lain dijangka tidak mengalami hujan. - UTUSAN ONLINE