TUMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Kelantan
sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi tugas
menyelamatkan mangsa banjir sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlaku
pada bila-bila masa.
Pengarah JPBM Kelantan, Azmi Osman menegaskan, keutamaan semua pegawai
dan anggota bomba pada musim banjir adalah penekanan kekuatan mental sebagai
langkah persediaan jika banjir berlaku dalam tempoh masa panjang.
Menurutnya, beberapa siri kursus dan kaunseling diadakan untuk memberi
keyakinan kepada semua pegawai serta anggota bomba.
"Sekiranya banjir berlaku untuk tempoh masa yang lama, anggota
perlu ketahanan kuat untuk berdepan dengan sebarang insiden.
"Anggota bomba sudah bersiap sedia secara keseluruhannya, sama ada
dari segi mental, fizikal, peralatan dan kemahiran dalam menangani fenomena
banjir," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan
JPBM Negeri Kelantan di Balai Bomba Tumpat, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Azmi berkata, sokongan lain dari segi peralatan berada
dalam keadaan baik apabila sebanyak 58 bot dan kenderaan utiliti bersiap sedia
menjalankan operasi menyelamat.
Katanya, unit rondaan di setiap daerah digerakkan berkuat kuasa kelmarin
dan akan membuat rondaan secara berkala supaya jabatan itu dapat bertindak
dengan pantas.
"Pasukan itu akan meronda sungai dan kawasan sering dinaiki air
secara berkala. Mereka guna utiliti dan motosikal ke kawasan terbabit. Di
samping itu kita beri khidmat nasihat kepada penduduk agar mereka sentiasa peka
dengan berita semasa berhubung banjir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan