Khamis, Oktober 17, 2013

KENAPA KERAJAAN RUGI RM2 BILION AKIBAT PENYELUDUPAN ROKOK ???

PASTI ADA JAWAPANNYA YANG POSITIF. SEBAGAI CONTOH ADAKAH AGENSI-AGENSI YANG TERLIBAT MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN JUJUR, AMANAH DAN CEMERLANG ????

Kerajaan kerugian kira-kira RM2 bilion sejak Januari hingga September tahun ini, selepas gagal mengutip cukai berkaitan bahan tembakau berikutan aktiviti penyeludupan rokok melalui sempadan negara.
Ketua Pengarah Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Datuk Abdul Rahim Ismail berkata jumlah itu hasil kajian yang dilakukan sebuah syarikat pengeluar rokok British American Tobacco (BAT) pada tahun ini.
"Permintaan terhadap rokok seludup semakin meningkat berikutan kenaikan harga rokok sebanyak 14 peratus baru-baru ini memandangkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu membeli rokok yang telah dicukaikan.
"Rokok seludup mendapat permintaan tinggi oleh golongan berkenaan kerana harga yang murah dan boleh didapati serendah RM2.50 sekotak yang mengandungi 20 batang rokok," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Aidiladha di Pondok Haji Ismail Baginda, Kampung Jenerih, Jalan Meranti di sini Khamis.
Pada majlis tersebut, UPP turut mengorbankan empat ekor lembu untuk diagihkan kepada 400 anggotanya dari Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis serta penduduk kampung itu.
Turut hadir Komander UPP Kelantan Rusli Karim, Komander UPP Perak Kasturi Othman, Komander UPP Kedah Abd Latif Ab Rahman dan Komander UPP Perlis Zakaria Ab Rahman.
Abdul Rahim berkata UPP berdepan cabaran baharu bagi menangani pendatang asing tanpa izin berbangsa Rohingya yang berasal dari Myanmar berikutan pergolakan berkaitan agama yang berlaku di negara tersebut pada masa kini.
"Pendatang asing tanpa izin ini masuk ke Malaysia secara haram, terutama di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dengan menjadikan Selatan Thailand sebagai pusat transit.
"Mereka mudah masuk ke negara ini kerana terdapat 356 pengkalan haram yang beroperasi di kawasan sempadan tersebut dan tidak dibina pagar sebagaimana di bahagian utara negara," katanya.
Beliau berkata selain penyeludupan rokok, mercun dan diesel turut mendominasi aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan berkenaan.
"Bagaimanapun, aktiviti penyeludupan masih terkawal dan kita turut mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasaan lain," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan