Sabtu, November 20, 2010

Kek Coklat Inti Bangkai Tikus

Logo
19 Nov 2010
KAMPUNG PACHAKAN - Pasangan guru agama dekat Kuala Besut fobia untuk menjamu kek coklat selepas termakan kek yang didakwanya me-ngandungi bangkai seekor tikus. 


Guru al-Quran lelaki yang enggan mendedahkan identitinya berkata, isterinya yang juga seorang guru agama di sebuah sekolah di Tanah Merah, Kelantan membeli kek coklat berkenaan daripada peniaga yang menjualnya di sekolah pada 8 November lalu. 




Menurutnya, kejadian itu disedari apabila dia terlihat beberapa helai bulu dalam kek coklat berkenaan menyebabkan dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. 


“Saya tidak sedap hati apabila ternampak bulu berkenaan dan kemudiannya memotong kek yang sudah tinggal separuh untuk melihat apa sebenarnya yang ada di dalamnya. 


“Saya terkejut besar apabila mendapati terdapat ekor haiwan dan selepas menariknya saya dapati ia adalah bangkai seekor tikus yang disaluti kek,” katanya. 


Menurutnya, berikutan terjumpa ekor pada kek berkenaan, isterinya muntah dan paling dikhuatiri anaknya demam berlarutan sejak memakan kek itu. 


Menurutnya, kek itu dibeli oleh isterinya dengan harga RM5 daripada peniaga berkenaan yang juga pembuat kek dan dipercayai beroperasi di sebuah rumah. 


“Sebelum ini, rakan setugas isteri saya pernah terjumpa beberapa helai bulu dalam kek yang mereka beli tetapi pada awalnya mereka menyangka ia adalah coklat yang tidak hancur tetapi selepas makan kek berkenaan mereka mengadu cirit-birit dan muntah,” katanya. 


Menurutnya, kek coklat yang mereka beli tidak diletakkan sebarang label dan selepas menyamar dengan membuat panggilan kepada penjual berkenaan untuk menempah kek, peniaga itu memberitahu ia beroperasi di sebuah kampung di Pasir Putih, Kelantan. 


Katanya, dia akan melaporkan perkara terbabit kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan bahagian hal ehwal pengguna untuk tindakan lanjut. 


Menurutnya, isterinya baru pertama kali membeli kek berkenaan walaupun sering dijual di sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan