Khamis, November 18, 2010

Keseronokan 4X4


DI KALANGAN penggiat aktiviti pacuan empat roda mereka menggunakan istilah offroading setiap kali memandu keluar kenderaan dari keselesaan jalan-jalan berturap.   Ke mana sahaja destinasi yang dituju, masa tersebut adalah masa untuk menguji kemahiran memandu dan keupayaan jentera mereka meredah laluan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa.

Jika ditanya kepuasan yang mendorong mereka menceburi aktiviti lasak itu, maka pelbagai jawapan dapat didengar.    Yang pasti, offroading bagi mereka bukan sekadar hobi tetapi lebih kepada gaya hidup yang penuh dengan cabaran.

Selepas beberapa kali mengikuti ekspedisi pacuan empat roda, penulis tidak menafikan keseronokan aktiviti itu. Bukan sekadar mengejar cabaran di sepanjang laluan tetapi aktiviti juga sarat dengan nilai positif yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan.
Keakraban dan semangat berpasukan adalah perkara utama yang dikongsi dalam setiap kumpulan. Bahkan pertolongan yang dihulur ketika mengharungi saat-saat getir boleh diibaratkan sebagai 'cermin' yang menilai keikhlasan dan hati budi seseorang sahabat.   Namun melawan 'tabii' alam di dada belantara bukan sekadar memerlukan kemahiran memandu dan semangat yang kental tetapi ia juga mustahil dilakukan tanpa disiplin yang tinggi.

Berada di dalam konvoi pacuan empat roda menuntut seseorang itu peka kepada setiap perkara yang berlaku di sekeliling.   
Apa sahaja posisi yang dipegang sepanjang perjalanan sama ada sebagai pemandu, pembantu pemandu atau penumpang, masing-masing memikul tanggungjawab tersendiri.

Seorang peserta misalnya harus tahu bilakah seseorang pemandu memerlukan bantuan, waktu kenderaan akan bergerak serta memberi maklum-balas kepada setiap maklumat yang disampaikan melalui radio.  Selain itu, peserta harus membiasakan diri dengan kelengkapan dan barang-barang yang ada di dalam sebuah kenderaan yang dinaiki bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan barang ketika ia diperlukan.   Kemuncak cabaran dalam offroading semestinya semasa memandu kenderaan melalui laluan becak, mendaki atau ketika melintasi jambatan kayu. Dalam situasi seperti itu, kerjasama adalah kunci kejayaan pasukan untuk terus bergerak.   Dalam menghadapi situasi sukar, pembantu pemandu atau penumpang biasanya akan bermandi lumpur kerana tugas memasang winch dan memberi tunjuk arah (biasanya) terletak di bahu mereka.   Winch adalah alat yang digunakan untuk menarik keluar kenderaan yang tersekat. Alat yang berupaya menarik beban beribu-ribu kilogram itu digunakan dengan pelbagai cara, biasanya melalui pautan pada kenderaan lain atau pada pokok.

Sesebuah pacuan empat roda yang lengkap biasanya mempunyai satu set winch yang dipasang di bahagian depan dan belakang (jika lebih dari satu). Tetapi awas! Sentiasa perhatikan jarak anda dengan kabel winch ketika kerja-kerja menarik kenderaan bagi mengelak kemalangan kerana ada kalanya kabel winch boleh terputus.   Meredah jauh ke dalam belantara sememangnya menduga kesabaran tetapi keseronokan yang menanti juga tidak kurang hebatnya. Selain memandu, saat yang dinanti-nantikan selepas bergelumang dengan selut dan lumpur adalah sewaktu perkhemahan.   Saat di mana sebungkus mi segera atau satu tin sardin sudah cukup menyelerakan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan apa sahaja makanan yang disajikan pasti 'menjadi'.

Lebih menyeronokkan jika tapak perkhemahan dibina berhampiran dengan sungai atau air terjun. Peluang yang ada tidak harus dilepaskan untuk berendam sepuas-puasnya kerana ada masanya ketika perjalanan berlarutan sehingga lewat malam, peserta terpaksa tidur tanpa berpeluang membersihkan diri dengan sempurna.   Bagaimanapun, berada di hutan dalam kumpulan yang besar tidak menjamin seseorang itu lebih selamat dengan ancaman persekitaran.   Permukaan tanah hutan sewaktu hujan misalnya bukan sahaja berbahaya untuk pemanduan tetapi juga ketika berjalan kaki. Oleh itu, sepasang kasut yang baik dan tahan lasak adalah teman rapat sepanjang aktiviti ini.

Di kawasan bersemak-samun, ancaman yang lebih menakutkan seperti patukan ular dan sengatan serangga berbisa mungkin menanti. Jadi, setiap langkah harus diatur dengan waspada bagi mengurangkan risiko kemalangan.   Bagi yang belum pernah mengikuti aktiviti ini, langkah pertama mungkin dikelirukan dengan pelbagai istilah yang tidak difahami terutama apabila melibatkan penggunaan radio amatur.  Cuma jangan segan untuk bertanya kepada yang lebih berpengalaman kerana mereka tidak akan lokek untuk berkongsi maklumat. Biasanya peserta baru akan diberi peluang untuk memperkenalkan diri menggunakan handy (alat percakapan radio).  Radio amatur adalah alat telekomunikasi yang menghubungkan setiap kenderaan dengan kenderaan yang lain. Di dalam pacuan empat roda berkumpulan, radio amatur merupakan satu kemestian.   Selain fungsinya sebagai medium perantaraan, ia seringkali menjadi 'pentas' bagi ahli kumpulan untuk bergurau senda dan berlawak jenaka.   Tidak dinafikan, jika ditangguk nilai-nilai murni yang ada di dalam aktiviti pacuan empat roda, ia mampu membentuk individu menjadi lebih berdikari dalam menghadapi situasi sukar.   Yang pasti segala kegelisahan di tempat tidur yang ala kadar pasti lenyap bersama-sama bunyi dengkur mereka yang kepenatan sebaik sahaja mata dilelapkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan