Terengganu yang sering melakar kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan awam di negara ini sehingga dominan dengan jolokan `negeri anjung ilmu’ terus mengorak langkah memartabatkan satu lagi cabang ilmu apabila menganjurkan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan pada 12 hingga 13 Mac depan.
Pertandingan yang julung kali diadakan dengan tema `Inspirasi Seni Khat TTI’ dianjurkan Persatuan Seni Khat Malaysia dengan kerjasama penuh Kerajaan Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM61,000 bakal disertai lebih 300 peserta dari seluruh Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa pertandingan, Dato’ Zubir Embong, berkata program di Taman Tamadun Islam (TTI) menjurus kepada pameran, seminar dan juga pertandingan seni khat bakal melibatkan penyertaan penggiat, pengkarya dan peminat seni khat dari seluruh negara.
Katanya, dua kategori ditawarkan dalam pertandingan, iaitu spontan (terbuka) bagi 18 tahun ke atas dan spontan (sekolah) bagi yang berusia 13 hingga 18 tahun dengan syarat-syarat tertentu dengan menonjolkan karya khat yang popular termasuk Thuluth, Kufi, Nasakh dan Diwani.
Tokoh kaligrafi Islam, Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) akan mengemukakan ucaptama pada hari pertama program itu, selain kemunculan tokoh kaligrafi terkenal dunia dari Syria, Adnan Sheikh Osman sepanjang seminar bagi berkongsi ilmu penulisan kepada peserta pertandingan ini.
Beliau berkata, program itu akan menjadi forum untuk memperkasa dan menanam minat supaya kecintaan terhadap keseniaan Islam terus subur di kalangan masyarakat khususnya golongan muda serta dapat membuka mata mengenai keindahan, rahsia dan nilai tulisan jawi atau khat ini kepada masyarakat Islam.
“YAB Menteri Besar cukup berminat dengan program ini, yang mana beliau turut menyediakan satu piala khas dinamakan `Piala Menteri Besar Terengganu’ sebagai piala iringan pertandingan yang dijangka diadakan secara tahunan,” katanya ketika sidang akhbar mengenai program itu, di Dewan Konvensyen TTI, di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, petang semalam (22 Februari).
Hadir sama, Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman.
Katanya, seni khat memang sinonim dengan Terengganu dan TTI yang memiliki senibina mahupun monumen bercirikan tulisan serta ayat penting dalam al-Quran dan syair Arab terkenal.
Malah, Batu Bersurat yang berasal dari Terengganu turut membuktikan sejarah kedatangan Islam ke rantau Nusantara yang bermula dengan kecelikan masyarakat terdahulu terhadap tulisan rasmi bangsa Melayu itu.
“Tulisan jawi ini sebenarnya tulisan rasmi bagi bangsa Melayu yang semakin jauh dengan masyarakat, kalau dulu ia dianggap sebagai tulisan rasmi tetapi kini ia tidak lagi dianggap sedemikian, maka kelihatan tulisan jawi kian jauh dan bimbang akan pupus. Kalau pupus tulisan ini, maka bangsa Melayu jug turut sama menerima akibatnya,” katanya.
Oleh itu, pendekatan itu perlu dilaksanakan bagi melestarikan serta memperkasakan semula bagi mengelak keseniaan dan ilmu itu semakin dilupakan generasi kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan