Program English Teaching Assistant (ETA) yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini bakal diperluaskan ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai pelajar terbilang yang mampu menguasai bahasa Inggeris secara lebih mendalam.
Melalui konsep pembelajaran ETA, setiap pelajar nyata lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa berkenaan.
Di Terengganu, program seumpama ini sudah enam tahun dilaksanakan, bermula 2006 di mana setiap tahun terdapat 10 hingga 12 sekolah menengah dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar di sekolah itu.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis, berkata dia bangga dan kagum kerana Kerajaan Terengganu mampu mewujudkan program ETA yang nyata dapat membuka minda pelajar menguasai subjek bahasa Inggeris secara bijaksana..
Katanya, menyedari ianya memberi banyak manfaat, pihaknya akan mengambilnya sebagai contoh atau model sebelum diperluaskan ke sekolah lain seluruh negara.
“Pihak kami sedang merangka kertas kerja berkaitan itu dan akan membentangkannya kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat.
“Jika mereka menyatakan persetujuan, kita akan laksanakannya secepat mungkin, secara tidak langsung mewujudkan kembali apa yang pernah dilaksanakan dahulu,” katanya ketika kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bersama Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones di Sekolah Menengah Lembah, Bidong, Setiu, hari ini.
Lawatan itu bertujuan mengetahui keberkesanan ETA yang dilaksanakan di beberapa sekolah di negeri ini.
Dato’ Seri Jamaluddin turut memberitahu, konsep yang bakal dilaksanakan mungkin berbeza sedikit di mana menggunakan sistem pertukaran tenaga pengajar.
“Seramai 300 hingga 500 guru mata pelajaran bahasa Inggeris di negara ini dijangka terlibat bagi memantapkan penggunaan bahasa Inggeris,” katannya.
Sementara itu, Paul W.Jones, berkata idea pertukaran tenaga pengajar cukup baik dan sewajarnya dilaksanakan. Apabila pulang nanti, dia akan berbincang dengan Presiden.
“Kerjasama dan hubungan baik antara Malaysia khususnya Terengganu dan Amerika Syarikat akan diteruskan untuk kepentingan bersama terutama berkaitan ekonomi dan persahabatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan