Jumaat, Februari 25, 2011

SKMM Akan Siasat Radio Free Sarawak Jika Ada Laporan, Kata Salang

SARIKEI, 25 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap dakwaan wujudnya stesen radio haram Radio Free Sarawak sekiranya terdapat laporan polis mengenainya, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

Beliau berkata setakat ini, belum ada laporan dibuat mengenainya kepada polis atau Kementerian Dalam Negeri.

"Saya ada mendengar tentang kewujudannya. Saya juga difahamkan ia beroperasi di Melaka, bukan di London, seperti yang dipercayai.
"Jika terdapat laporan mengenainya, SKMM akan menyiasat. Jika kandungannya melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM boleh menyekat siarannya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen Julau yang diwakilinya di sini.

Salang berkata oleh kerana stesen radio itu tidak diberi lesen oleh SKMM, maka ia adalah stesen haram.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Sarawak Abdul Karim Hamzah hari ini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap stesen radio itu.

Beliau berkata dalam siaran hariannya, stesen itu menghasut rakyat Sarawak supaya menentang kerajaan negeri dan cuba menimbulkan kebencian antara kaum.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan