Rabu, Februari 23, 2011

Restui anak nikah muda ???

PADA zaman moden ini, jarang ada ibu bapa sedia melepaskan anak dara belasan tahun dan masih belajar untuk disunting orang. Bagi mereka, sepatutnya pada usia itu si anak masih memenuhi tuntutan pengajian dan belum matang untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan pelakon terkenal 80-an, Rosnah Mohd Noor, 51, dan bekas suaminya, Iwan yang juga penyanyi dangdut terkenal, kerana rela membenarkan anak gadis mereka, Wan Syamira Putri Oktavia Wan Syahman, 19, berkahwin. Ditemui di kediaman Rosnah di Taman Putra Perdana, Puchong, kelmarin, Iwan, 50, berkata dia sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana seorang anak gadisnya sudah bertemu jodoh dan bergelar isteri pada usia muda.

Katanya sebagai bapa, dia hanya mahukan yang terbaik buat anak tersayang dan menyuruh anaknya itu berkahwin bagi mengelak perkara tidak diingini.


"Justeru, tidak mahu perkara buruk terjadi kepada anak saya, lebih baik saja Wan Syamira dikahwinkan (dengan Muhammad Izzat Abd Rahman). Bagi saya, daripada anak asyik diusung ke hulu hilir tanpa ikatan sah, lebih baik dikahwinkan saja.


"Lagipun, perkahwinan itu perkara yang baik dan dituntut dalam agama Islam. Sebagai ayah, saya hanya mahukan yang terbaik untuk Wan Syamira. Selepas mereka sah bergelar suami isteri, semuanya sudah halal dan tiada apa yang perlu saya risaukan lagi.



"Usia bukan persoalannya. Apa yang penting, restu ibu bapa dan saya sendiri berdoa supaya Tuhan memanjangkan jodoh mereka hingga ke akhir hayat mereka.


"Sekarang saya sangat bersyukur kepada Ilahi kerana salah seorang anak gadis sudah dipertemukan jodoh. Walaupun, dia 'langkah bendul' kerana Wan Syamira anak kedua, saya turut mendapat sokongan anak sulung, Wan Ramada Agus Putra yang sekarang berusia 21 tahun," katanya.


Menurut Iwan yang sudah bersara daripada berdangdut dan berhijrah mencari keredaan Yang Maha Esa, dia sangat gembira dapat menikahkan anaknya sendiri.



Pasangan pengantin diijabkabulkan selepas Zuhur, Sabtu lalu di Masjid Hidayah, Sentul.


Menyentuh soal karier seninya, Iwan berkata ia masih diteruskan tetapi sekarang dia lebih cenderung ke arah yang lebih tenang. "Oleh itu, pada April ini saya akan muncul dengan satu album baru berkonsepkan dakwah. Album itu memuatkan 10 lagu ini dicipta semuanya oleh saya sendiri," katanya yang sudah berkahwin baru dengan Avie Surriantyy dan memiliki seorang anak, Wan Nur Summayyah berusia setahun.



Rosnah pula yang menjalani pembedahan barah payu dara, baru-baru ini tetap mahu meraikan majlis itu walaupun dinasihatkan agar lebih banyak berehat.



"Saya gembira biarpun terpaksa melakukan semua persiapan seorang diri dengan keadaan yang belum benar-benar sihat. Demi anak, saya harus membuat yang terbaik dan sekadar kemampuan. "Kalau ikutkan perancangan sebenar majlis pertunangan anak kami itu akan diadakan Mei ini namun, Iwan berkeras mahu wan Syamira berkahwin awal juga. Begitu juga Wan Ramada yang sama pendapat dengan ayahnya itu," katanya.



Pada majlis pernikahannya, Wan Syamira menerima wang hantaran RM20,211 dan 11 dulang hantaran berbalas 13.



"Kalau tiada aral pengantin akan berbulan madu di Austarlia kerana Wan Ramada melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Sydney dalam jurusan arkitek hingga tahun depan," Rosnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan