ALOR SETAR, 17 April (Bernama) -- 'Respond time' yang sebelum ini hanya diambil kira untuk Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sahaja, tetapi kini telah diperluaskan kepada pasukan bomba sukarela bagi mengiktiraf pasukan itu yang bertindak pantas sampai ke tempat kejadian.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata satu arahan telah dikeluarkan kepada semua pasukan bomba sukarela iaitu apabila mereka sampai awal di tempat kejadian, 'respond time' mereka akan direkodkan.
"Jika pasukan bomba sukarela yang sampai dahulu iaitu antara 5 hingga 10 minit di tempat kejadian berbanding anggota JBPM, respond time mereka akan direkodkan seperti respond time JBPM. Jadi tidak timbul dakwaan bomba sukarela sampai lebih awal dari JBPM," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat JBPM Negeri Kedah di sini Ahad.