MOHAMAD NUR IFFAN, meninggal tersedak susu
PADANG BESAR: “Sedih, sebak dan sayu. Hanya Tuhan tahu perasaan saya apabila melihat tubuh Nur Iffan yang sudah tidak bernyawa itu. Saya hanya mampu peluk tubuh Nur Iffan yang kecil dan cium dia berkali-kali. Itu semua sudah terlambat kerana dia pergi meninggalkan kami.
“Kedatangan Aidilfitri yang hanya berapa lama lagi ini tidak bermakna buat kami sekeluarga, namun saya reda dengan apa yang terjadi,” kata Ramlah Ibrahim, 27, ibu Mohamad Nur Iffan Md Yussof, tiga bulan, yang meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai kerana tersedak susu ketika tidur. Tambah menyayat hati, pemergian bayi lelaki yang juga anak bongsu lima beradik itu ketika umat Islam semakin hampir menyambut kedatangan Aidilfitri yang bakal menjelang dalam tempoh kurang dua minggu lagi.